KOTA BHARU – Semua persatuan sukan di negara ini diingatkan agar tidak menjadikan langkah mengambil atlet naturalisasi atau warisan sebagai jalan mudah untuk mencari kemenangan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ini kerana, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menyalurkan peruntukan RM1 juta melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tujuan pembangunan atlet akar umbi terutamanya untuk sukan-sukan Olimpik.
Menurutnya, KBS tetap mahu membangunkan akar umbi atlet ditambah dengan program naturalisasi atau warisan pemain.
“Kita mahu buat kedua-duanya. Bangunkan dan perluaskan bakat-bakat sukan (bermula daripada peringkat akar umbi), namun pada masa yang sama mahukan kemenangan.
“Usaha membawa masuk pemain warisan atau naturalisasi juga perlu mengikut garis panduan Kementerian Dalam Negeri kerana ia turut melibatkan isu-isu imigresen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian The ASEAN Youth Robot Challenge 2025 (ASEAN Y-RoboC’25) dan Hari Kerjaya Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Timur 2025 di Tunjong, di sini hari ini.
Sebelum ini, Akuatik Malaysia (MAS) sudah pun memulakan usaha mengenalpasti perenang-perenang yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia bagi mewakili skuad renang kebangsaan pada masa hadapan.
MSN juga menyambut baik usaha MAS untuk merekrut perenang warisan bagi memantapkan skuad kebangsaan mengharungi kejohanan di pentas antarabangsa.
“Setiap sukan mempunyai peraturan antarabangsa masing-masing sama ada berkaitan pemain warisan atau naturalisasi. Jika Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan, kita okay.
“Sekiranya World Aquatics membenarkan atlet warisan (bagi sukan akuatik), kita juga tiada masalah kerana ia mengikut peraturan yang diluluskan badan sukan masing-masing. Kita beri keutamaan kepada bakat tempatan, namun setiap pasukan yang keluar bertanding pasti mahu kemenangan.
“Selagi mereka mahu menang dan ikut peraturan, KBS akan beri sokongan,” katanya.
Beliau berkata, langkah memberi ruang kepada atlet warisan tidak bermakna bakat tempatan akan terpinggir, sebaliknya ia akan mewujudkan persaingan sihat yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak – KOSMO! ONLINE