Program MMM anjuran The Mahabbah lahir ramai mutawif, mutawifah profesional

5 hours ago 5

PETALING JAYA – Mutawif dianggap sebagai guru, penasihat dan pembimbing serta juga orang penting yang bertanggungjawab melancarkan sesuatu operasi dalam pelaksanaan ibadah umrah di Tanah Suci.

Kebanyakannya mutawif lelaki dilantik mengiringi sesebuah kumpulan jemaah umrah dan mereka berpeluang berulang alik ke Mekah dan Madinah sekali gus menjadikan ia satu kerjaya sangat dinilai dalam masyarakat.

Bagaimanapun, di sebalik kepesatan industri pengurusan umrah, jarang masyarakat didedahkan dengan peranan seorang mutawifah dalam bidang tersebut.

Peranan mutawifah penting dalam menyantuni jemaah umrah wanita dalam pelbagai aspek, malah ia juga dapat melancarkan lagi pengoperasian sesebuah syarikat pengurusan jemaah umrah ketika di Tanah Suci.

Menyedari keperluan mendesak daripada pertumbuhan industri pengurusan jemaah umrah di negara ini, The Mahabbah, salah satu cabang perniagaan dalam syarikat Saudagar Holidays Sdn. Bhd. telah menganjurkan kursus mutawif yang dikenali sebagai Mahabbah Mutawwif Masterclass (MMM) secara profesional.

Menurut tenaga pengajar The Mahabbah, Farah Md Isa, ini adalah tahun pertama syarikat menganjurkan kursus tersebut yang mana ia akan dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman.

“Terdapat peluang yang besar dalam bidang ini kerana kadar kebolehpasaran daripada MMM adalah tinggi memandangkan terdapat banyak syarikat pengurusan jemaah umrah yang memerlukan mutawif dan mutawifah,” katanya yang memiliki pengalaman lebih daripada lima tahun dan setahun tinggal di Tanah Suci.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan program MMM dan pelantikan kumpulan nasyid, Aeydan sebagai ikon kursus berkenaan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi tenaga pengajar The Mahabbah, Mohd. Qamarulnasri Damni berkata, MMM menawarkan empat modul kursus bermula daripada peringkat asas, advance, expert dan praktikal yang mana pada peringkat berkenaan, peserta akan melaksanakan latihan sebagai mutawif dan mutawifah di Mekah dan Madinah selama 12 hari 10 malam.

Menurut beliau, kos bayaran berbeza mengikut peringkat dengan harga serendah RM99 bagi peringkat asas dan bertambah sehingga RM5,999 yang mana jika dibayar secara penuh, jumlah keseluruhan bagi setiap peserta adalah kurang daripada RM7,000, manakala bagi mereka yang membayar peringkat demi peringkat, kosnya pula dianggarkan mencecah RM8,000 seorang.

“Setiap modul yang dilalui, peserta akan memperoleh sijil dan mereka boleh bekerja di mana-mana syarikat pengurusan jemaah umrah ataupun diserap masuk bekerja di bawah syarikat pengurusan umrah syarikat ini,” jelasnya.

Tambahnya, syarikat kini sangat teruja untuk menggalakkan penglibatan para pelajar tahfiz yang sudah menamatkan pengajian menghafaz 30 juzuk al-Quran untuk beralih mencari kerjaya sebagai mutawif dan mutawifah.

Mereka adalah kumpulan berpotensi untuk menyertai MMM dan pastinya memiliki kemahiran melaksanakan tugasan pen­ting menyantuni jemaah umrah.
Menurut beliau, menolak alasan tidak boleh berbahasa Arab, tetapi boleh menghafal dan memahami sirah dengan kadar lebih cepat serta lebih baik, adalah satu kelebihan buat mereka.

“Sebagai orang muda, mereka juga akan lebih cekap mengendalikan hal-hal berkaitan logistik di sana.

“Jangan fikir, bila habis belajar di pondok, kerjaya mereka hanya jadi imam, ustaz dan ustazah tetapi mereka boleh pergi lebih jauh dari itu,” jelasnya.

Ditanya mengenai sasaran mutawif dan mutawifah daripada program MMM, Nasri menjelaskan, syarikat optimis mencapai sehingga 80 peserta setahun berjaya menjalani semua modul berkenaan sehingga ke peringkat praktikal.

Selain itu, syarikat juga akan mengu­kuhkan lagi kerjasamanya dengan rakan niaga di Brunei untuk menyantuni jemaah dari negara berkenaan untuk mengerjakan ibadah umrah pada musim tahun Hijrah ini.

“Jenama kami cukup ter­kenal di Brunei dan kami mahu terus memfokuskan segmen bisnes berkenaan sambil lebih aktif mempromosi pakej umrah kepada jemaah di negara ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |