Presiden Perancis isytihar negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB

3 hours ago 1

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), NEW YORK – Presiden Perancis, Emmanuel Macron rasmi mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York.

Berucap pada sidang kemuncak tanpa kehadiran Israel dan penyokong putamanya Amerika Syarikat semalam, Macron menyeru perang Gaza dihentikan.

“Masa untuk keamanan telah tiba, kerana jika kita sedikit terlewat, kita tidak akan dapat menggapainya.

“Sudah tiba masanya untuk Hamas membebaskan 48 tebusan yang ditahan. Sudah tiba masanya juga untuk menghentikan perang, pengeboman Gaza, pembunuhan beramai-ramai dan perpindahan secara paksa,” kata Macron dalam ucapannya di UNGA.

Macron bagaimanapun menambah, Perancis tidak akan membuka kedutaan di negara Palestin sehinggalah gencatan senjata dilaksanakan di Gaza dan semua tebusan dibebaskan.

Mengulas ucapan Macron, Pihak Berkuasa Palestin (PA) memuji keputusan beliau sebagai ‘bersejarah dan berani’ dengan delegasi PA berdiri dan memberikan tepukan gemuruh.

Australia, Britain, Kanada dan Portugal turut mengiktiraf negara Palestin pada perhimpunan tersebut sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Israel ketika Tel Aviv memperluaskan perang di Gaza.

Monaco, Belgium, Andorra, Malta dan Luxembourg seterusnya mengiktiraf negara Palestin dari podium UNGA,  menjadikan jumlah pengiktirafan meningkat kepada tiga perempat keahlian PBB.

Sepanyol, Ireland dan Norway telah pun mengiktiraf negara Palestin pada Mei lalu, manakala Sweden melakukannya sejak 2014 lagi.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar tidak akan membenarkan negara Palestin ditubuhkan dengan Kabinetnya mengancam merampas wilayah Tebing Barat supaya penubuhan negara Palestina menjadi mustahil.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon malah berkata, Israel ‘akan mengambil tindakan’. 

“Mereka (dunia) tidak mempromosikan keamanan. Mereka menyokong keganasan,” katanya. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |