MELAKA – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendera anak angkat lelaki mereka berusia lapan tahun menggunakan pemetik api dan air panas dalam kejadian berasingan pada sejak Ogos lalu.
Tertuduh, Badrul Amin Yazid, 27, dan Nur Amiesya Saim, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu bapa dan ibu angkat kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ketika kejadian telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu.
Perbuatan itu adalah dengan cara yang mungkin akan menyebabkannnya mengalami kecederaan fizikal dan emosi yang dilakukan di dua rumah berasingan di Taman Merdeka Jaya dan Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini kira-kira pukul 8.30 malam 20 Ogos dan 29 Oktober lalu.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani, yang masing-masing menawarkan jaminan RM40,000 dan RM30,000 berserta syarat tambahan.
Kedua-dua tertuduh yang kelihatan sebak memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan mempunyai banyak komitmen serta perlu menjaga ibu bapa yang uzur.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan Badrul Amin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala Nur Amiesya dibenarkan jaminan RM9,000.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan agar kedua-dua tertuduh tidak mendekati mangsa serta saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Kosmo! pada 5 November lalu melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mendera anak angkat dengan cara mencucuh mangsa menggunakan pemetik api dan merendam tangan ke dalam air panas hanya kerana pensel warna hilang.
Kejadian terbongkar selepas bapa saudara mangsa datang ke rumah adik lelakinya di Batu Berendam pada 30 Oktober lalu dan mendapati kecederaan melecur di jari tangan kanan serta kesan parut lama pada kaki kanak-kanak itu.- KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4

















![[VIDEO] Drebar bas pecut elak ditahan sebab ikut cakap majikan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-11.34.19_a5272c08.jpg)































