KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengumumkan penubuhan Anti Bully Center (ABC) sebagai pusat sokongan komuniti bagi menangani kes buli yang semakin membimbangkan di sekolah.
Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, pusat tersebut akan berfungsi sebagai ruang selamat untuk mangsa tampil mendapatkan bantuan, berkongsi pengalaman, selain menganjurkan seminar dan forum bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Kita percaya, kalau bersama-sama bersungguh-sungguh, kita mampu mencari jalan penyelesaian.
“ABC diwujudkan kerana buli tidak boleh dibiarkan wujud lagi di sekolah, kolej atau universiti. Ia perlu dihentikan segera,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Nadzim turut mendedahkan pihaknya menerima pelbagai aduan melibatkan pelajar, termasuk tiga kes yang berlaku di sekolah berbeza dalam tempoh beberapa hari lalu.
“Kami amat serius mahu menghentikan gejala buli ini supaya tidak berlaku lagi kepada anak-anak atau ahli keluarga kita.
“Kerana kita tahu, kes-kes buli ini walau berpunca daripada perkara kecil, implikasinya sangat besar,” katanya.
Sementara itu, Panel Penasihat PPIM, Prof Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sebenarnya telah menyediakan garis panduan serta manual anti-buli, namun kelemahan berlaku di peringkat pelaksanaan di sekolah.
“Perancangan di atas kertas sudah lengkap, tetapi apa yang membuatkan rasa terkilan ialah di peringkat sekolah itu ada yang pelaksanannya tidak seperti mana yang tertulis di dalam arahan dan juga pekeliling.
“Akhirnya mangsa terus menderita dan pembuli terus bebas,” katanya.
Justeru itu katanya, pihaknya berharap penubuhan ABC akan menjadi titik tolak kepada gerakan masyarakat yang lebih besar untuk memastikan isu buli tidak lagi berulang, demi keselamatan dan masa depan anak-anak. – KOSMO! ONLINE