PN gesa isu Putra Heights dibahas dalam Dewan Rakyat

9 hours ago 6

PUCHONG – Perikatan Nasional (PN) Selangor menggesa agar Ahli Parlimen membahaskan isu berkaitan letupan paip gas di Putra Heights di Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Timbalan Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, gesaan itu dibuat berikutan insiden berkenaan merupakan isu nasional yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Beliau turut mendakwa laporan terkini berhubung kejadian yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa disifatkan tidak lengkap dan siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan.

“Ini merupakan isu nasional yang perlu ditangani dengan serius oleh pihak kerajaan.

“Kita juga meminta Ahli Parlimen untuk membawa isu berkenaan dibahaskan pada sesi Parlimen akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ab. Halim yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, mesyuarat pimpinan PN yang berlangsung hari ini turut memutuskan untuk menghantar usul kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi mendapatkan jawapan terhadap segala persoalan mengenai laporan insiden yang dimaklumkan sebelum ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tiada unsur sabotaj, khianat atau kecuaian dikenal pasti dalam siasatan awal insiden yang berlaku pada 1 April lalu itu.

Namun, penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas dilaporkan masih tidak berpuas hati dengan laporan tersebut dan berhasrat meneruskan tindakan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang setimpal.

Selasa lalu, Kosmo! turut melaporkan, kes insiden letupan paip gas di Putra Heights diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Hussein dilapor berkata, ini selepas tiada menemui sebarang unsur jenayah atau sabotaj dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu mengenainya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |