Piala Malaysia: Kuching City enggan jadi pelengkap jadual

18 hours ago 9

PASUKAN Kuching City FC te­kad membuktikan kualiti pasukan mereka dan hadir bukan sekadar menjadi pelengkap jadual menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak berkata, barisan pemain hadir ke pentas final dengan keyakinan tinggi selepas berjaya melakar kejutan mara ke pentas final.

Menurut Aidil, sejarah kejayaan Kuala Lumpur City (KL City) menewaskan JDT pada aksi final Piala Malaysia 2021 membuktikan tiada yang mustahil dalam bola sepak.

“Bagi kelab yang bukan dianggap gergasi, motivasi adalah faktor utama. Saya lihat pemain sangat teruja dan tidak sabar untuk bermain di final kerana ini peluang besar buat mereka.

“Dalam bola sepak, semuanya tentang kepercayaan dan kerja keras kerana sejarah terdahulu sudah membuktikan (kejayaan KL City).

“Kami juga tidak mahu datang mewakili Sarawak dan memberikan aksi buruk. Keputusan mungkin kita tidak boleh kawal, tetapi usaha dan semangat pemain mesti maksimum,” katanya.

Mengulas mengenai ramalan kesebelasan utama, Aidil masih berteka-teki sama ada tiga pemain pinjaman JDT, Danial Amier, Ramadhan Saifullah dan penjaga gol, Haziq Nadzli boleh diturunkan.

“Buat masa ini, saya tidak boleh sahkan sama ada mereka boleh bermain atau tidak dan serahkan segalanya kepada pihak pengurusan. Namun, kita akan tetap memberikan yang terbaik dan semua pemain berada dalam keadaan bersedia,” katanya.

Sementara itu, kapten Kuching City, James Okwuosa menyifatkan kekuatan utama JDT adalah secara berpasukan walaupun beberapa utama seperti Bergson da Silva boleh memberikan ancaman utama.

“Kami tidak boleh hanya fokus kepada Bergson sahaja. Kami perlu beri perhatian kepada seluruh pasukan kerana itulah kekuatan JDT. Namun, kita perlu kekal fokus kerana orang hanya akan ingat siapa juara. Dalam 90 minit, sesiapa sahaja boleh ditewaskan,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |