
- Oleh ASLIZA MUSA
- 23 September 2025, 12:08 pm
IPOH – Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara dalam kejadian di asrama sebuah tokong di Menglembu, tiga minggu lalu.
Bagaimanapun, pendakwaan ke atas Thien Mg, 31, terpaksa ditangguhkan kerana tertuduh tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.
Majistret S. Punitha kemudian menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh lantikan jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan kes dapat dijalankan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Zarris Sofea tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu ekoran tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tarikh sebutan semula untuk lantikan jurubahasa adalah pada 2 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE