KOTA BHARU – Kegiatan melombong emas secara haram di Kelantan masih terkawal dan hanya berlaku pada hari cuti melibatkan kawasan-kawasan tertentu sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, keadaan itu dapat dilihat ketika penguatkuasaan dan pemantauan berterusan yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan dalam membendung kegiatan haram tersebut.
“Kebiasaannya, mereka melombong emas secara haram ketika cuti dan lebih tahu jadual operasi dan penguatkuasaan dilakukan.
“Setakat ini, pasukan pemantauan khas telah membuat banyak tangkapan dan menyita jentera yang dikesan melakukan aktiviti melombong secara haram,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kelstone Cosmos Lab di Tunjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hilmi memberitahu, kerajaan negeri turut mengambil pendekatan proaktif dengan memperkenalkan lesen mendulang sebagai alternatif kepada penduduk tempatan bagi memastikan aktiviti perlombongan dilakukan secara sah, selamat dan mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, proses mendapatkan lesen perlombongan melibatkan beberapa peringkat termasuk lesen cari gali bagi mengenal pasti kewujudan mineral di sesuatu kawasan.
“Aktiviti melombong emas ada kaedah-kaedahnya bagi mengelak berlaku insiden yang tidak diingini. Oleh itu, pemegang lesen mendulang akan diberikan kursus dan penerangan berkaitan kaedah melombong yang betul.
“Permohonan lesen juga memerlukan beberapa proses dan setiap peringkat mempunyai bayaran tertentu tetapi bayarannya tidak terlalu tinggi. Tanah yang diluluskan juga akan ditukar syarat daripada pertanian kepada perlombongan mengikut prosedur ditetapkan,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, keghairahan tiga sahabat melombong emas secara haram di kawasan pedalaman berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas tertimbus dalam runtuhan tebing tanah di kawasan anak sungai ladang sawit Jerimbong dekat Jeli pada Rabu lalu.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, Mohamad Ali Akhbar, 38, dan Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32, tertimbus tanah setinggi dua meter ketika mereka sedang melombong emas.
Lokasi kejadian terletak jauh di pedalaman sehingga menyukarkan usaha menyelamat berikutan perjalanan ke kawasan tersebut mengambil masa lebih sejam melalui jalan berbatu dan tidak berturap. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
7




![[VIDEO] GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA dari Istanbul](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/AKTIVIS-MALAYSIA-GSF-GSF-2.0.jpeg?v=1779636357)










































