PETALING JAYA – Industri filem animasi di negara mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi digital negara kerana mempunyai potensi besar bukan sahaja dalam negara malah untuk dieksport.
Malah kata Presiden Animas, Zahrin Zamzuri, industri tersebut ketika ini paling terkehadapan berbanding negara ASEAN lain serta mendapat sambutan tinggi dalam kalangan penonton.

Sebagai contoh katanya, industri itu telah mencipta sejarah baru apabila tayangan filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) baru-baru ini telah meraih kutipan RM 60 juta di pawagam.
“Ia adalah kutipan tertinggi dalam rekod tayangan filem animasi terbitan Malaysia setakat ini sekaligus membuktikan bahawa industri animasi semakin berkembang dan mendapat sokongan kuat rakyat Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Zahrin berkata, walaupun potensi filem animasi sangat besar, namun hanya beberapa filem animasi sahaja yang mampu dihasilkan oleh produksi animasi tempatan.
“Jika dilihat kepada rekod tayangan di pawagam sejak era pasca-Covid19, hanya satu sahaja filem animasi mampu dihasilkan setahun untuk tayangan 2021 tiada, 2022 Mechamato, 2023-Didi & Friends, 2024-Dongeng Sang Kancil, 2025-Ejen Ali The Movie (EATM) 2.
“Sewajarnya, Malaysia memerlukan lima atau enam filem animasi setahun memandangkan sambutan sangat tinggi di kalangan penonton disamping membuka potensi besar dalam kitaran ekonomi negara termasuklah potensi eksport,”jelasnya.
Oleh itu katanya, pihak persatuan menggesa kerajaan agar memperbanyakkan lagi insentif terhadap industri animasi supaya lebih banyak animasi sehebat EATM dapat dihasilkan.
Sekali gus tambahnya, dapat membuka peluang pekerjaan kepada ramai generasi muda yang berbakat.-KOSMO! ONLINE