GENTING HIGHLANDS – Vokalis Hujan Noh Salleh menyifatkan momennya berduet bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada konsert Violet Skies yang berlangsung di Arena Of Stars Genting Highlands semalam sebagai pencapaian tertinggi dalam kerjaya nyanyiannya.
Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh Sadeli, 40, dipilih sebagai penyanyi undangan untuk berduet bersama Siti untuk menyampaikan tiga buah lagu iaitu Bangawan Solo, Rahsia Tuhan dan Pagi Yang Gelap.
Selepas menyampaikan lagu viral, Rahsia Tuhan, Noh tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya dan kelihatan sangat beremosi kerana impiannya untuk berduet bersama penyanyi nombor satu negara itu akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya sangat terharu kerana dapat bersama-sama dalam sebuah majlis yang sangat berprestij ini. Bagi Noh Salleh atau Noh Hujan, ini adalah satu pencapaian yang tertinggi untuk saya sepanjang saya berkecimpung dalam bidang seni suara.
“Terima kasih daripada lubuk hati saya yang paling dalam. Ini adalah sangat luar biasa, sangat-sangat tidak masuk akal untuk saya berdiri di atas satu pentas yang sama dengan penyanyi nombor satu negara,” katanya.
Tambah Noh lagi, dia sangat terharu sehingga terasa seperti ingin menangis kerana tidak percaya momen tersebut benar-benar terjadi.
Sementara itu, Siti mendedahkan sebab dia memilih Noh sebagai penyanyi undangan kerana dia meminati lagu Rahsia Tuhan yang disifatkannya sebagai sebuah lagu yang sangat menyentuh hati.
“Lagu Rahsia Tuhan sangat viral. Saya tahu ramai yang suka dengan lagu ini. Saya pun suka. Bila saya umumkan artis undangan saya adalah Noh Salleh, ramai yang tertanya-tanya lagu apa yang saya nak nyanyikan bersamanya,” kongsinya.
Selain berjaya membuai emosi hampir 5000 peminat menerusi lagu Rahsia Tuhan, Siti dan Noh juga berjaya membuat seluruh hadirin berdansa menerusi lagu Pagi Yang Gelap.
Pada konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Siti menyampaikan 19 buah lagu antaranya Aku Cinta Padamu, Purnama Merindu, Kau Kekasihku, Badarsila, Sendiri dan Pastikan.
Konsert Violet Skies : Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars dibawakan khas oleh Resort World Genting dan berlangsung selama dua malam pada 5 dan 6 Julai. – KOSMO! ONLINE