Pemuzik pukul rakan serumah, berang hempas pintu bilik air

6 hours ago 7

AMPANG JAYA – Hanya kerana tidak berpuas hati dengan bunyi hempasan pintu bilik air, seorang gitaris bertindak agresif menyerang rakan serumahnya menggunakan batang besi di sebuah rumah sewa di Pandan Indah, di sini pada 30 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang belum berkahwin dan bekerja sebagai tukang masak berusia 52 tahun mendakwa sedang tidur sebelum terjaga akibat terdengar bunyi kuat dari arah bilik air.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, mangsa kemudian bertindak keluar dan menghempas semula pintu bilik air tersebut kerana tidak berpuas hati dengan kejadian itu.

“Tidak lama selepas itu, suspek iaitu seorang lelaki tempatan tiba-tiba keluar dari biliknya dengan membawa sebatang besi dipercayai pemegang gitar dan memukul mangsa hingga mengalami kecederaan di bahagian tangan.

“Berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum suspek mengugut akan membawa kawannya untuk mencederakan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan suspek berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pemuzik kira-kira pukul 4.45 petang pada 2 Julai lalu di lokasi kejadian.

Menurut Mohd. Azam, polis turut merampas sebatang pemegang gitar berwarna hitam dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan rekod lampau menunjukkan tiada sebarang jenayah.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan lama antara kedua-dua pihak berhubung masalah bunyi bising daripada alat muzik yang dimainkan oleh suspek, yang turut mengganggu waktu rehat mangsa walaupun telah ditegur beberapa kali,” jelasnya.

Tambah beliau, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapannya dirakam pada hari sama tangkapan dibuat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |