PETALING JAYA – Orang ramai menggesa agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan membina penghadang di kawasan Sungai Korok, Jitra, Kedah susulan insiden tragis melibatkan enam beranak yang hilang sejak Sabtu lalu dijumpai tidak bernyawa di dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam dalam sungai berkenaan.
Menurut pengguna media sosial, kejadian seperti itu bukanlah yang pertama, memandangkan kawasan tersebut sering menjadi lokasi kemalangan maut, khususnya pada waktu malam kerana keadaan jalan yang gelap dan tidak dilengkapi ciri keselamatan mencukupi.
Tinjauan Kosmo! di media sosial, rata-rata orang ramai turut menyuarakan kebimbangan dan mendesak agar penghadang jalan dibina segera bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
“Bila lagi nak buat penghadang jalan di sini? Hampir setiap tahun ada yang meninggal kerana terbabas masuk ke dalam sungai itu. Itulah punca utama yang pihak media kena tekankan,” kata Shazwan Shukor.
“Sungai ini sudah banyak ‘makan orang’ sudah sampai masa ini untuk ambil tindakan letakkan penghadang jalan atau timbus terus sungai itu,” komen Morrow Morrow.
“Sungai itu sudah banyak kes sudah. Saya minta sangat pihak bertanggungjawab membina penghadang sebab air sungai sangat dalam ye,” ujar Syeikh Sufie Elmalizi.
Orang ramai turut menzahirkan harapan agar aspek keselamatan pengguna jalan raya di kawasan itu diberikan perhatian sewajarnya supaya lebih banyak nyawa dapat diselamatkan pada masa akan datang.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan enam beranak yang hilang sejak Sabtu lalu dijumpai tidak bernyawa di dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam dalam Sungai Korok, Jitra, Kedah, hari ini.
Mereka dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri sebaik kenderaan yang dinaiki terjunam ke dalam sungai tersebut di sini namun gagal.
Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri serta empat anak berusia enam bulan hingga sembilan tahun.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, mayat enam beranak tersebut ditemukan di tempat duduk belakang.
“Ketika anggota melakukan operasi penyelamatan disahkan enam mangsa ini berkumpul di belakang kereta di sebelah kiri.
“Berkemungkinan ada cubaan (mangsa) untuk keluar bagaimanapun gagal,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini. -KOSMO! ONLINE