PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melaksanakan Operasi Pematuhan Cukai siri kesepuluh yang dikenali sebagai ‘OP Tanjong’ di sekitar Pulau Pinang termasuk Seberang Perai.
Pemilihan operasi di Pulau Mutiara itu merupakan kesinambungan kepada inisiatif bersasar LHDN untuk mengukuhkan kebertanggungjawaban fiskal serta memastikan keadilan sistem cukai dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
Menerusi satu kenyataan, LHDN berkata, sebanyak 845 kes telah dikenal pasti bagi tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan, melibatkan seramai 238 pegawai dari seluruh negeri berkenaan.
Jelas LHDN, fokus utama operasi diberikan kepada sektor-sektor yang dilihat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang seperti sektor pembuatan, elektronik dan elektrikal, digital dan teknologi, logistik, pembinaan dan kontraktor serta kejuruteraan.
“Enam aktiviti utama telah dilaksanakan sepanjang operasi ini iaitu audit cukai, verifikasi maklumat pembayar cukai, pematuhan strategik, pungutan, duti setem serta tindakan guaman.
“Pendekatan ini bukan sahaja bersifat penguatkuasaan, malah turut menekankan elemen pendidikan melalui komunikasi secara langsung dengan pembayar cukai agar mereka sedar berkenaan hak dan tanggungjawab mereka dalam sistem percukaian negara,”kata LHDN.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Hisham Rusli berkata, komitmen berterusan pihaknya untuk melaksanakan pendekatan holistik dan bersepadu merentas lokaliti dan fungsi.
Beliau berkata, pelaksanaan OP Tanjong membuktikan kesediaan LHDN dalam menyesuaikan strategi pematuhan mengikut landskap ekonomi setempat, tanpa mengetepikan prinsip keadilan dan ketelusan.
“Kita percaya bahawa usaha bersepadu seperti ini akan terus menjadi asas kukuh kepada ekosistem percukaian yang lestari, telus serta menyumbang secara langsung kepada keupayaan fiskal negara untuk menyokong agenda pembangunan nasional,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE