Nurul Huda CDM Sukan SEA Thailand 2025

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Legenda renang tanah air, Nurul Huda Abdullah sah dilantik sebagai ketua kontinjen (CDM) Malaysia yang akan menggalas cabaran pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 bermula 9 hingga 20 Disember depan.

Pengumuman itu dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini dengan pemilihan tersebut merupakan keputusan dibuat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagi melicinkan pengurusan serta pergerakan kontinjen pada temasya sukan Asia Tenggara itu nanti, tiga timbalan CDM turut dilantik, iaitu Datuk Kenny Goh, Nazmizan Mohamad dan Jivan Mohan.

“MOM berbesar hati mengumumkan pelantikan CDM serta tiga timbalan CDM bagi mengetuai kontinjen negara pada Sukan SEA ke-33 yang akan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla bermula 9 hingga 20 Disember depan.

“Pemilihan itu dibuat dengan kolaborasi bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara bagi memastikan kontinjen dipimpin oleh ketua-ketua yang berkaliber dan berpengalaman,” kata MOM.

Sebagai rekod, nama Nurul Huda sudah tidak asing lagi dalam arena sukan tanah air apabila beliau masih lagi memegang status sebagai atlet Malaysia yang paling banyak memenangi pingat di Sukan SEA, iaitu 32 pingat (22 emas, 8 perak, 2 gangsa).

Sementara itu, beliau juga merupakan satu-satunya perenang wanita negara yang pernah meraih pingat pada temasya Sukan Asia menerusi dua perak dan dua gangsa pada edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan.

Dalam aspek pentadbiran pula, Nurul Huda merupakan penyandang jawatan Naib Presiden MOM selain turut berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kehormat Akuatik Malaysia (MA) sejak 2023.

“MOM yakin pasukan ini dibarisi pemimpin yang cukup dihormati dan memiliki banyak pencapaian. Pengalaman sebagai atlet dan pentadbir mampu menjadi inspirasi untuk kita mencatat kejayaan pada Sukan SEA Thailand 2025,” ujar badan induk itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |