Murid trauma jadi mangsa buli hingga kemurungan, cederakan diri

3 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Seorang murid perempuan berusia 14 tahun didakwa mengalami tekanan emosi serius termasuk menunjukkan kecenderungan membunuh diri selepas berulang kali menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor.

Menurut ibunya, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, anaknya pernah beberapa kali menceritakan kejadian dibuli sejak berpindah ke sekolah itu iaitu pada Julai lalu, namun masalah tersebut tidak pernah selesai walaupun aduan telah dibuat kepada pihak sekolah.

Suri rumah itu berkata, anaknya dibuli oleh beberapa pelajar sama seawal hari kedua memasuki sekolah tersebut selepas anaknya berpindah dari sebuah sekolah di Kedah.

“Dia beritahu saya pernah diejek serta dipulaukan oleh beberapa rakan. Saya sudah maklumkan kepada guru disiplin, tetapi kes ini tetap berulang.

“Kemuncaknya berlaku pada Jumaat, 12 September lalu sebelum cuti sekolah, apabila dia sekali lagi diejek dan diganggu. Saya mula perasan keadaannya semakin teruk apabila dia duduk terperap dalam bilik dan melukis gambar pelik-pelik,” katanya ketika sidang akhbar di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Tambah Nurul Afeeza, lukisan anaknya termasuk imej gelap dan simbol tekanan yang memberi isyarat kemurungan, malah ada yang menggambarkan idea untuk menamatkan hidup.

“Saya terkejut bila dia tulis ‘saya stress, penat dan serabut’. Dia mengaku rasa berserabut kerana hari-hari kena ejek dan dipulaukan. Saya tak sangka buli ini sampai tahap anak saya nak cederakan diri.

“Tapi, perkara ini tidak terhenti di situ apabila anak saya seorang lagi memaklumkan kepada saya bahawa anak saya ini telah menoreh tangannya dan bila saya periksa memang ada beberapa kesan torehan di pergelangan tangan kiri,” katanya.

Katanya, pihak PPIM telah membantu remaja tersebut untuk mendapatkan perkhidmatan pakar psikaiatri dan pemeriksaan mendapati murid terbabit menunjukkan skor emosi yang sangat tinggi serta simptom kemurungan berisiko ke arah cubaan bunuh diri tahap satu.

Panel Penasihat PPIM, Prof Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah memaklumkan, pakar turut mengesahkan mangsa berdepan buli secara berterusan, termasuk ejekan verbal, fitnah, dan pengasingan sosial yang memberi kesan mendalam kepada mentalnya.

Sementara itu, turut mengalami nasib sama ialah pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Mantin, Negeri Sembilan yang turut menjadi mangsa buli hingga menyebabkan dia berasa takut untuk hadir ke sekolah.

Kakak mangsa, Siti Wan Norasyirah, 24, berkata, adiknya mengalami trauma teruk selepas menjadi mangsa buli sehingga dipukul dengan botol kaca di muka serta ditarik tudung.

“Kejadian berlaku pada 20 Ogos lalu ketika waktu rehat kokurikulum selepas berlaku perselisihan faham kecil.

“Pembuli menuduh adik saya cuba merampas kawan dan teman lelakinya. Disebabkan hal remeh itu, adik saya ditendang di bahagian belakang, tudungnya ditarik sampai nampak rambut dan leher, sebelum wajahnya dipukul menggunakan botol air kaca,” katanya.

Lebih mengejutkan, katanya, pihak sekolah hanya menyelesaikan kes tersebut di bilik kaunseling dengan meminta pembuli memohon maaf, tanpa memaklumkan kepada ibu bapa atau pengetua sekolah berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |