‘Mula-mula dia main nampak semangat, lepas tu dia rebah’ – Isteri

10 hours ago 6

GEORGE TOWN – Isteri kepada bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed, 53, tidak menyangka perjalanan menaiki bas bersama suami dan rakan pasukannya dari sebuah hotel ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung di Perak malam semalam adalah pertemuan terakhir mereka.

Fildaanis Mat, 52, berkata, arwah suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia mengalami masalah kesihatan sepanjang perjalanan menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ sehinggalah perlawanan bermula.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat suaminya rebah di padang ketika minit terakhir perlawanan.

“Masa minit pertama, dia nampak semangat dan dia tangkap (menyelamat) dua tiga, bola juga lah. Lepas itu dia rebah. Memang tak sangka…Anak bongsu kami pengsan tengah padang sebaik dapat tahu bapanya meninggal dunia.

“Dia tak tunjuk apa-apa perubahan, cuma dalam dua, tiga hari ini dia asyik tenung saya dan saya ada tanya kepadanya, awat (kenapa) abah (suami) tengok mama. Dia diam dan tak (tidak) kata apa-apa.

“Arwah pernah mengalami demam dan muntah dua minggu lalu. Tetapi dia tetap aktif bersukan dan menguruskan hal berkaitan perlawanan tersebut,” katanya kepada pemberita sejurus selesai upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini, kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Jelasnya lagi, sepatutnya mereka sekeluarga hadir pada hari pendaftaran anak bongsu di sebuah kolej di Bangi, Selangor, hari ini.

“Arwah nak sangat anak bongsu kami sambung belajar. Dia juga ada cakap dengan kawan-kawan tentang perkara ini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang rakan arwah, Radzuan Putah 60, yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang berkata, arwah ada mengadu sakit dada ketika latihan bola sepak minggu lalu.

“Atas bas dia sembang macam biasa tapi nampak macam tak semangat. Sebelum itu dia ada beritahu tidak mahu pergi (ke Manjung).

“Memang satu kehilangan besar dalam sukan bola sepak bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi Malaysia,” jelasnya.

Terdahulu, polis mengesahkan punca kematian Allahyarham Firos adalah akibat serangan jantung.

Allahyarham Firos meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Seri Manjung pada pukul 10.23 malam semalam. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |