MNRB komited terus bantu pelajar B40 luar bandar

19 hours ago 6

SABAK BERNAM – MNRB Holdings Bhd. (MNRB) komited terus membantu pelajar khususnya B40 menyambung pengajian ke peringkat universiti menerusi biasiswa dibawah Program Lestari Cemerlang Cemerlang MNRB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata, biasiswa ini mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyokong aspirasi seterusnya meningkatkan potensi dan peluang pelajar luar bandar.

Katanya, inisiatif ini merangkumi pelbagai program yang menyokong kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah pelajar secara menyeluruh.

“Ini sejajar dengan usaha berterusan MNRB untuk membantu para pelajar dengan menyediakan platform awal dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Kami yakin dengan sedikit dorongan dan peluang yang diberikan, mereka mampu melakar kejayaan besar di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas meraikan lima pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz dengan Anugerah Biasiswa melalui program itu, di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, Ahmad Noor dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan (KPM), Dr. Mohd. Anuar Abdullah menyaksikan perasmian IKHLAS e-Screening yang disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Family Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi.

Menurut beliau, pemilihan sekolah dilakukan jawatankuasa khas dengan pelajar terdiri daripada mereka yang mencatatkan keputusan cemerlang daripada golongan kurang berkemampuan.

“Setakat ini, seramai 15 pelajar dari SMK Ungku Aziz telah menerima biasiswa tersebut. Daripada jumlah itu, seramai lapan orang sedang berkhidmat di pelbagai jabatan dalam kumpulan MNRB,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Zain Hazrey Abdul Hamid @ Zulkifli, 18, memberitahu, dia bangkit belajar bersungguh-sungguh selepas kehilangan ayahnya akibat penyakit stroke pada pagi Hari Raya Aidiladha tahun 2023.

“Masa arwah ayah sakit memang ada cadangan dari keluarga agar saya untuk berpindah sekolah. Namun, saya menyatakan boleh berdikari.

“Alhamdulillah, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan akan mengikuti Diploma Perakuanan di UiTM Shah Alam dengan biasiswa MNRB,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima Nor Aisyah Humairah Rosli,18, biasiswa tersebut secara langsung dapat membantu lebih fokus pada pelajar tanpa memikirkan isu kewangan.

“Saya mahu menjadi akauntan bertauliah khususnya dalam sistem perbankan Islam. Biasiswa ini sangat membantu dan saya akan membalasnya dengan bekerja bersama MNRB,” kata yang memperoleh 9A dalam SPM.

Sepanjang dua tahun pelaksanaan Program Lestari Cemerlang MNRB di SMK Ungku Aziz, pelbagai sumbangan dan penajaan telah disalurkan kepada pihak sekolah meliputi program akademik seperti kelas-kelas tuisyen atau tambahan, program motivasi dan program skor SPM.

Malaysia Re anak syarikat MNRB turut menyumbang melalui inisiatif zakat wakalah kerja-kerja penambahbaikan surau sekolah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |