KUALA LUMPUR – Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysa (PDRM) dipercayai mengumpul dana dan merekrut ahli untuk kumpulan pengganas di Bangladesh dan Syria.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, rangkaian berkenaan mengumpul dana melalui pembayaran yuran keahlian sebanyak RM500 seorang bagi tempoh setahun serta sumbangan lain bergantung kepada kemampuan.
Menurutnya, Malaysia bukan merupakan negara sasaran atau transit untuk melaksanakan aktiviti keganasan, sebaliknya dijadikan destinasi untuk mendapatkan peluang pekerjaan dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan perkhidmatan.
“Wang yang dikumpul ini kemudian dikumpul dan disalurkan ke luar negara menggunakan aplikasi e-dompet dan perkhidmatan penghantaran wang antarabangsa.
“Walaupun siasatan masih berjalan, polis mengesahkan terdapat sejumlah wang yang telah dihantar ke negara asal bagi menyokong operasi kumpulan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, modus operandi kumpulan itu adalah merekrut ahli dengan menggunakan platform media sosial dan aplikasi kumpulan WhatsApp dan Telegram.
Katanya, berdasarkan siasatan, gerakan berkenaan dipercayai mempunyai keahlian seramai 100 hinggga 150 ahli yang terdiri daripada warga Bangladesh.
Bagaimanapun, jelasnya, siasatan mendapati tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gerakan berkenaan yang dipercayai aktif sejak setahun lalu.
“Media sosial berkenaan digunakan bagi menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia), dan menyusun aktiviti rahsia termasuk pengajian agama serta perjumpaan ahli.
“Ahli yang melafazkan baiah dalam talian dilantik sebagai ketua sel untuk memperluas pengaruh kumpulan dan pengambilan ahli dilakukan secara berfasa bermula dari saringan keahlian hingga membentuk kelompok elit,” ujarnya.
Mohd. Khalid berkata, kegiatan kumpulan itu berjaya dikesan menerusi akaun media sosial dengan menggunakan alamat internet Malaysia yang aktif menyebarkan fahaman radikal.
Katanya, seramai enam individu telah ditahan dalam operasi fasa pertama pada 28 April lalu di sekitar Selangor yang mendedahkan struktur GMRB berpangkalan di Johor.
“Fasa kedua pada 7 Mei, operasi diteruskan di Johor dan polis telah berjaya menahan 14 individu termasuk ketua kumpulan GMRB berkenaan.
“Manakala fasa ketiga dilaksanakan pada 19 hingga 21 Jun dengan 16 individu ditahan sekali gus menutup rangkaian utama GMRB yang beroperasi di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, daripada 36 individu yang ditahan berusia antara 25 hingga 35 tahun, seramai lima suspek telah didakwa mengikut 6A Kanun Keseksaan, manakala 16 individu masih ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan lanjut dan pendakwaan.
Beliau berkata, 15 lagi suspek yang terlibat secara minimum dalam kegiatan tersebut akan dihantar pulang ke negara asal.
Justeru, Mohd. Khalid berkata, PDRM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Bangladesh dan polis antarabangsa (Interpol) untuk siasatan lanjut.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar lebih peka terhadap persekitaran dan segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE