Mangsa maut dipanah petir sempat minta abang jaga 3 anak

7 hours ago 3

KANGAR – Mangsa yang maut dipanah petir sewaktu keluar memukat udang di pesisiran Pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, dekat sini dikatakan telah menunjukkan tingkah laku berbeza sebelum kejadian.

Abang mangsa, Maszelan Othman, 46, berkata, sewaktu kali terakhir bertemu di jeti sebelum keluar ke laut, adik bongsunya itu, Muhamad Faiez, 28, kelihatan kurang ceria dan tidak sama seperti kebiasaan.

Menurutnya, mangsa juga sempat berpesan kepadanya untuk menjaga ketiga-tiga anaknya yang masih kecil sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Adik saya mempunyai tiga orang anak lelaki berusia enam tahun, setahun dan enam bulan yang mana mereka semuanya masih lagi kecil.

“Kami pun agak pelik kenapa arwah tak begitu ceria dengan gelak tawa sebelum keluar ke laut pada hari itu dan tak sangka kejadian seperti ini berlaku secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian mangsa di Tanah Perkuburan Islam Simpang Sanglang, di sini hari ini.

Sementara itu, menurut saksi, Ibrahim Hasri, 23, kejadian berlaku begitu pantas, malah dia juga tidak menyangka Muhamad Faiez akan dipanah petir sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke jeti.

Menurutnya, ketika sedang bergegas pulang, dia melihat cahaya panahan petir menyambar di sebelah telinganya dan setelah berpaling ke belakang, mangsa didapati telah tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan melecur.

“Saya duduk di bahagian depan sikit sewaktu kejadian dan bila panahan petir itu, saya berpaling ke belakang dan lihat dia sudah tidak sedarkan diri.

“Saya kemudian meminta bantuan rakan-rakan nelayan lain yang berada berhampiran lalu mereka kemudiannya membawa mangsa pulang ke jeti,” katanya.

Tambahnya, selepas kejadian itu, dia turut mengalami sedikit kecederaan di telinga kanan yang turut mengganggu pendengaran dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

“Saya memang sedikit trauma dengan kejadian ini tetapi akan kembali semula ke laut selepas ini untuk mencari rezeki,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |