PETALING JAYA – Seorang wanita kesal apabila disaman pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya dalam tempoh 59 saat sebelum sempat dia menambah lagi bayaran bagi memanjangkan tempoh parkir kenderaan.
Menerusi hantaran Thread Fitriyah Yunus, wanita itu berkongsi bayaran resit parkir untuk tempoh satu jam serta saman diterimanya kurang daripada satu minit di daerah Petaling Jaya di sini.
“Saman dalam 59 saat, tak sempat pun nak tekan butang ‘extend’ (panjangkan tempoh parkir). Saya faham undang-undang itu penting. Tapi undang-undang juga perlukan kemanusiaan untuk dilaksanakan dengan adil.
“Adakah ini suatu yang efisien atau kurangnya empati? Bukan nak lari daripada bayar. Saya cuma minta ruang untuk jadi manusia yang kadang-kadang lambat satu minit,” katanya pada hantaran tersebut.
Pada resit tersebut memaparkan, wanita itu membayar parkir bagi tempoh dari 8.48 pagi hingga 9.48 pagi sebanyak RM1.20.
Saman yang diterima pula menunjukkan dia disaman sebanyak RM100 oleh PBT pukul 9.49 pagi.
Menjawab pertanyaan orang ramai, wanita itu mendakwa telah cuba merayu bagi pengurangan saman.
“Semestinya ada, rayu secara baik, namun balasan daripada pegawai tidak membantu,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas selain ada yang berkongsi pengalaman sama melibatkan PBT berbeza.
“Saya pernah kena macam ni di Shah Alam. Saya pergi MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) buat rayuan sebab ada tiga kes yang macam ni. Cuba bincang dan minta budi bicara sebab kita bukan tak bayar, terlepas satu minit saja,” komen pengguna Thread amarizqy.
“Pernah kena tapi MPKj (Majlis Perbandaran Kajang). Telefon dia orang dan ‘check’, sama itu mereka batalkan,” kata Firdaus Othaman. – KOSMO! ONLINE