30 peratus calon siri satu, dua PLKN gagal lapor diri

7 hours ago 4

KOTA TINGGI – Kira-kira 30 peratus calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didapati gagal melaporkan diri bagi menghadiri siri latihan satu dan dua yang lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, antara sebab yang dikemukakan oleh calon terlibat termasuk masalah kesihatan serta komitmen melanjutkan pelajaran.

“PLKN akan masuk siri ketiga. Ini semua adalah percubaan dan tahun depan yang sebenarnya. Bagi kedua-dua siri satu dan dua lebih kurang dalam 30 peratus gagal hadir, tetapi alasan yang mereka beri ada yang sakit, ada yang diterima masuk universiti.

“Daripada dua siri latihan yang sudah kita buat itu mendapat sambutan yang baik dan pesertanya mahukan supaya ditingkatkan lagi pengisian dalam soal latihan-latihan ketenteraan,” katanya kepada media selepas hadir Majlis Perasmian Program Kembara Lestari @ Kota Tinggi Bersama Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di Dewan Terbuka Felda Lok Heng Barat di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (HPUSIM) Mukim Sedili bakal menjadi ‘game changer’ bagi kawasan Parlimen Kota Tinggi.

“Projek itu sedang dirangka dirancang diteliti tentunya kos-kos sedang dipertimbangkan untuk ditentukan dan saya percaya selepas itu pemilihan kontraktor.

“Jadi dua tiga tahun lagi kita akan lihat proses awalan rancangan dan sebagainya. Jadi ia bukan hari ni dia lulus (peruntukan) esok serta-merta akan terbina…tak.

“Jadi kita kena faham itu, kita beri sokongan supaya projek fasa satu libatkan kira-kira RM900 juta akan ubah keadaan Kota Tinggi terutama Sedili dan limpahannya akan masuk ke semua kawasan ia benar-benar dapat diteruskan kerana ia merupakan game changer bagi kawasan Parlimen Kota Tinggi insha-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |