KLANG – Seorang bekas pengarah syarikat pengendali umrah, Emraz Travel and Tours Sdn. Bhd. (Emraz Travel) mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan hari ini atas dua pertuduhan salah guna harta termasuk wang bayaran pakej umrah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Zulkarnain Endut, 44, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat dan Majistret Nor Azilah Mat selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.
Di hadapan Siti Zubaidah, Zulkarnain didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM27,960.20 milik seorang lelaki berusia 45 tahun di Jalan Tanjung Shawal antara 1 Februari hingga 28 Julai 2023.
Sementara di mahkamah Nor Azilah pula, lelaki tersebut dituduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah menyalahgunakan wang bayaran tunai berjumlah RM21,000 milik pelanggan untuk pakej umrah Emraz Travel yang gagal dilaksanakan antara 23 Februari hingga 9 Mac tahun lalu di Bandar Sultan Suleiman.
Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi dan Ahmad Sulfie Abu Hassan masing-masing mencadangkan jaminan RM10,000 dan RM15,000.
Peguam, Muhammad Nur Aiman Mohd. Lazim dalam mitigasinya memaklumkan syarikat tertuduh telah ditutup sejak 15 Julai tahun lalu dengan akaun syarikatnya telah dibekukan.
“Akaun peribadi tertuduh juga telah disita untuk tujuan pembayaran balik kepada jemaah umrah yang terkesan.
“Tertuduh juga mempunyai kes saman sivil di empat negeri sebelum ini. Dia tidak mempunyai pendapatan dan menanggung isteri serta seorang anak melalui ihsan adik-beradiknya,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM8,500 dan sebutan semula kes 24 September depan.
Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan Emraz Travel berkuat kuasa 11 Mac tahun lalu.
Pada 2 April tahun sama pula, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen syarikat berkenaan, dalam usaha melindungi kebajikan bakal jemaah haji berikutan aduan awam mengenai perkhidmatan umrah mereka. – KOSMO! ONLINE