Warga emas parah paha terkena mata besi jentera pembajak sawah

8 hours ago 4

KOTA BHARU – Seorang warga emas parah apabila pahanya terkena mata besi jentera pembajak sawah selepas kenderaan yang dipandunya itu terbalik di Kampung Bechah Mulong, Peringat di sini pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, paha kanan mangsa, Mohamad Hussin, 72, cedera dan kini dilaporkan stabil ketika dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.

Sepupu mangsa, Meriam Mat Zain, 72, berkata, Mohamad sedang mengalihkan jentera tersebut ke sawah padi yang terleteh bersebelahan sawahnya.

Katanya, mangsa dikatakan menghidupkan enjin jentera itu dan memandu kenderaan tersebut sebelum ia tiba-tiba terbalik.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan bahagian pahanya terkena mata besi jentera pembajak sawah yang sedang berpusing.

Ahli keluarga melawat Mohamad yang cedera pada bahagian pahanya di HPUSM, Kubang Kerian semalam. – IHSAN KELUARGA

“Nasib baik mata jentera itu tiba-tiba berhenti selepas tersangkut di paha mangsa. Kejadian itu disedari oleh penduduk kampung ketika melalui kawasan berkenaan selepas terdengar jeritan Mohamad meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Meriam memberitahu, penduduk kampung membuka skru mata pembajak sebelum membawa mangsa naik ke tebing sawah dalam keadaan pahanya sudah berlumuran darah.

Katanya, mangsa dibawa ke HPUSM oleh adiknya yang berusia dalam lingkungan 60-an dengan keretanya untuk mendapatkan rawatan.

“Mohamad merupakan seorang petani di sawah padi sejak 40 tahun lalu. Dia tidak pernah terjatuh dari jentera pembajak sawah sepanjang tempoh itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |