PUTRAJAYA – Kerangka Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan negeri dengan memberi fokus kepada beberapa teras utama termasuk aspek pelancongan dan pertanian dilihat memberi nafas baharu kepada perkembangan sektor terbabit.
Menerusi teras hala tuju Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025, beberapa sektor utama termasuk perindustrian memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi Sabah, seterusnya mewujudkan kesejahteraan berterusan kepada rakyat.
Dalam konteks ini, tumpuan kepada industri pelancongan bakal memanfaatkan kekayaan flora dan fauna selain keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong.
Untuk itu, pelancongan berasaskan komuniti, atau lebih dikenali sebagai Community Based Tourism (CBT) akan diperhebat bagi menarik ramai pelancong yang mana trend kini lebih menjurus kepada Frequent Independent Travellers (FIT).
Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, pelancongan Sabah turut meliputi aspek ‘ecotourism’, atau pelancongan mesra alam susulan kekayaan alam semula jadi dimiliki negeri itu.

Jelasnya, kepelbagaian alam semula jadi seperti gunung-ganang, pantai dan taman-taman negara merupakan aset penting kepada pelancongan Sabah.
“Sejak 20 tahun lalu dan 20 tahun akan datang, kesemua kekayaan alam semula jadi itu akan menjadi tumpuan dalam ecotourism.
“Dalam hal ini, industri pelancongan Sabah telah menyumbang sebanyak RM13 bilion kepada kerajaan negeri,” katanya.
Memberi contoh Danum Valley, Josie berkata, lokasi itu menjadi antara destinasi paling menonjol dalam sektor ecotourism Sabah dengan mempunyai hutan hujan berusia lebih 130 juta tahun.
“Selain itu, China juga menjadi antara pasaran terbesar kami berikutan ramai pelancong dari negara itu berkunjung ke Sabah sejak dua tahun lalu.
“Peningkatan itu berikutan kita mempunyai penerbangan terus dari China di mana kumpulan pelancong dari sana begitu menyukai pulau-pulau terdapat di sini,” katanya.
Jelas beliau lagi, pelancong Eropah juga antara yang berkunjung ke Sabah dengan meneroka kepelbagaian hidupan liar seperti terdapat di Pusat Rehabilitasi Orang Utan di Sepilok.
Sementara itu, fokus utama Pelan Pembangunan SMJ turut memberi tumpuan kepada sektor pertanian dalam usaha memastikan produktiviti dan kualiti pengeluaran dapat ditingkatkan.
Usaha itu turut meliputi penggunaan inovasi dalam teknologi pertanian hijau selain peningkatan aspek penyelidikan dan pembangunan bagi memperkasa tahap jaminan serta keselamatan dalam negeri.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kumpulan peladang merupakan komuniti penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, khususnya dalam memastikan aspek keterjaminan makanan kekal terjaga.
Lantaran itu, Hajiji berkata, warga peladang perlu peka dan bersedia menerima serta membuat perubahan dalam industri pertanian termasuk pengurusan ladang secara moden.
“Peladang harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan gigih untuk merebut peluang dalam sektor itu yang makin berkembang setiap hari.
“Untuk mencapai hasrat itu, peladang perlu lebih terbuka kepada idea dan maklumat baharu selain cepat menyesuaikan diri mengikut keadaan dan masa.
“Pada masa sama, sektor pertanian juga peru mengaplikasikan pengunaan teknologi canggih agar tidak ketinggalan berbanding sektor pembuatan dan perkhidmatan yang semakin berkembang,” jelasnya.
Selain pelancongan dan pertanian, elemen perindustrian turut ditampilkan dalam Pelan Pembangunan SMJ yang mana sektor itu mempunyai potensi besar untuk melonjak ekonomi Sabah secara maksimum.
Dalam konteks ekonomi Sabah, industri pembuatan merupakan bidang yang potensinya belum dimanfaatkan secara maksima.

Justeru, bagi merangsang sektor perindustrian khususnya industri pembuatan, kerajaan negeri telah menetapkan sasaran, mengatur strategi dan merancang program untuk memanfaatkan potensi, seterusnya meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, menerusi kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri optimis menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri perindustrian.
Katanya, dalam mencapai hasrat itu, pihaknya mengorak langkah pantas bagi memastikan peningkatan kemasukan pelabur khususnya pelaburan antarabangsa.
“Jadi, sebagai menteri bertanggungjawab, saya mahu menunjukkan kepada pemain industri bahawa kerajaan negeri begitu komited kepada perkara ini.
“Kami mahu memastikan bahawa pelabur dapat menjalankan perniagaan di Sabah dengan mudah, sama seperti yang ditawarkan di Semenanjung,” katanya. – KOSMO! ONLINE