Banduan cuba lari lokap, pecahkan cermin balai polis dijel 18 bulan

6 hours ago 4

KOTA BHARU – Seorang banduan dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan cara merempuh cermin pintu gelangsar pejabat kaunter pertanyaan Balai Polis Ketereh dekat sini semasa cuba lari dari lokap balai polis itu, dua bulan lalu.

Tertuduh, Nik Mohadi Ahmad, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan khianat terhadap harta balai polis dengan cara merempuh cermin pada pintu gelangsar kaunter pejabat pertanyaan sehingga pecah dan menyebabkan kerugian sebanyak RM200.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Ketereh di sini kira-kira pukul 1.02 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Naabil Mohamad Asri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Najwa Fahima Mohamad Fadzil.

Terdahulu, Ahmad Naabil memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam.

“Tertuduh sedang menjalani tempoh pemenjaraan bagi satu lagi kes khianat sehingga 22 April 2026 di Penjara Pengkalan Chepa. Kes yang dihadapi oleh tertuduh itu juga melibatkan kerosakan harta awam,” katanya.

Najwa Fahima dalam rayuannya memaklumkan tertuduh yang merupakan seorang duda bekerja sebagai buruh dan mempunyai tanggungan seorang anak selain bapa yang sakit tua.

“Tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang. Tertuduh juga memohon satu tempoh pemenjaraan yang minimum,” katanya.

Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman menegur sikap tertuduh yang tidak mengambil iktibar daripada kesalahan lalu dan perbuatan khianat terhadap harta awam itu menyebabkan kerugian kepada pembayar cukai.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan bermula 23 April 2026 iaitu selepas selesai tempoh pemenjaraan bagi kes khianat pertama yang dihadapi lelaki itu sebelum ini.

Mengikut fakta kes, Nik Mohadi dalam keadaan tangan bergari semasa keluar lokap untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu telah melarikan diri dengan merempuh cermin pintu gelangsar di hadapan kaunter aduan Balai Polis Ketereh.

Anggota polis telah bertindak mengejar dan berjaya menangkap semula lelaki itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |