Kurangkan beban bukan ‘skop’ tugas guru – NUTP

10 hours ago 4

PETALING JAYA – Sempena sambutan Hari Guru 2025 bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa pelbagai pihak agar menumpukan kepada usaha mengurangkan beban warga pendidik tanpa menjejaskan skop tugas profesional mereka.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon dalam satu kenyataan menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu yang membebani tugas hakiki guru sehingga memberi kesan kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Beban tugas guru yang lebih cenderung kepada kerja-kerja pentadbiran yang tidak berkaitan secara langsung dengan pengajaran dan pembelajaran perlu dikurangkan.

“Beban yang berlebihan ini bukan sahaja mengganggu fokus utama dalam mendidik, tetapi memberi impak negatif terhadap kesejahteraan guru,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, guru-guru sekolah rendah wajar diberikan pengiktirafan setimpal selaku pemacu utama dalam membentuk asas pendidikan negara.

“NUTP merayu kepada Bahagian Sumber Manusia di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar menyegerakan penghantaran kertas cadangan perubahan skim perkhidmatan guru sekolah rendah kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan pengiktirafan sewajarnya terhadap peranan mereka serta kelangsungan laluan kerjaya lebih jelas dan adil,” ujarnya.

Fouzi berkata, pihaknya turut menzahirkan kebimbangan terhadap penempatan semula pegawai bergred tinggi (Gred 13 dan 14 di bawah sistem SSPA) ke sekolah akibat ketiadaan jawatan setara di pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri dan kementerian.

Jelasnya, situasi ini dikhuatiri menjejaskan keberkesanan pentadbiran pendidikan di peringkat atasan, memandangkan fungsi strategik perancangan dasar turut terganggu.

Tambahnya, infrastruktur digital yang lemah dan aplikasi pendidikan tidak berfungsi dengan baik turut menambah tekanan kepada guru sehingga mereka terpaksa meluangkan masa secara signifikan untuk menyelesaikan isu-isu teknikal, sekali gus mengurangkan tumpuan terhadap pengajaran dalam bilik darjah.

Katanya, NUTP juga menekankan keperluan penyelenggaraan kuarters guru, terutamanya di kawasan pedalaman meskipun elaun perumahan serta COLA guru dipotong, banyak kemudahan ini tidak menerima penyelenggaraan yang mencukupi dan berkala.

“Dalam usaha mendepani pendidikan abad ke-21, penyediaan peralatan ICT yang mencukupi dan terkini menjadi suatu keperluan dengan mencadangkan pemberian insentif khas kepada guru membeli peralatan ICT.

Di samping itu, beliau berharap JPA dapat mempertimbangkan pelaksanaan model sekolah yang dicadangkan oleh KPM untuk menyelaras struktur perjawatan dan prasarana mengikut keperluan sebenar di sekolah.

Ujarnya, kesatuan itu juga menegaskan bahawa perancangan pendidikan negara perlu dilakukan secara inklusif, melibatkan kesatuan guru serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan dasar yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa depan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |