Gagal bayar wang jaminan, pemandu lori batu dihantar ke penjara

9 hours ago 4

TELUK INTAN – Pemandu lori muatan batu yang terbabit dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa meringkuk di penjara selepas gagal membayar wang jaminan berjumlah RM6,000 yang ditetapkan Mahkamah Majistret.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, akan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dipindahkan untuk reman penjara sekiranya jaminan yang ditawarkan tidak diperolehi daripada tertuduh.

“Sehingga kini tertuduh belum menjelaskan wang jaminan. Dia ada beritahu yang majikan akan bantu bayar tapi setakat ini belum lagi.

“Jika esok dia masih gagal untuk bayar, kita akan pindahkan ke penjara sehingga sebutan semula kes pada 17 Jun ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kesemua pertuduhan.

Norhamizah juga membenarkan permohonan syarat tambahan oleh pihak pendakwaan untuk lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai selain melapor diri di balai polis pada setiap minggu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa telah memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kepada S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei 2025.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |