KUANTAN – Mangsa yang lemas selepas dibawa arus deras di Pasir Puteri Sungai Lembing di sini hanya sempat meminta tolong sekali sebelum hilang di dalam sungai di Pasir Puteri semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang kelmarin mangsa Wan Izani Wan Mohamad,29, lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika berkelah bersama 19 saudara-maranya.
Seorang saksi yang juga saudara mangsa Syarifah Aida Syed Mamat, 47, berkata, semasa kejadian mangsa baru sahaja turun ke sungai bagi melihat keadaan kedalaman sungai berkenaan.
Katanya, kesemua mereka masih terkejut apabila menyaksikan saat-saat akhir mangsa sebelum hilang dan tenggelam ke dalam sungai berkenaan.
“Dari hujung sana kita ingatkan dia terapung-terapung macam itu dan bila sampai depan itu dia minta tolong dan terus masuk macam satu putaran dan terus tenggelam.
“Dia tidak menggapai tangan semua nampak dan berlari ke arahnya termasuk suami saya tetapi baru hendak mencapainya dia sudah tenggelam,” katanya ketika ditemui ketika menunggu operasi pencarian bersama ibu mangsa, Saadiah Botok, 68, yang datang dari Kelantan di sini hari ini.
Semalam Kosmo! Online melaporkan kegembiraan sekumpulan individu berkelah di kawasan Pasir Puteri di Sungai Lembing di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas selepas dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati pada pukul 5.45 petang semasa sedang mandi rakan mangsa melihat mangsa dihanyutkan air dan tersangkut pada tunggul kayu sebelum hilang dibawa arus.
Menurut Syarifah Aida mangsa yang tinggal dengan ibu angkatnya di Kuantan datang ke Pasir Puteri kali pertama bersama saudara-mara lain yang menaiki empat buah kereta.
Dia memberitahu pada mulanya mereka merancang untuk berkelah ke Air Terjun Panching tetapi mengubah lokasi memandangkan kawasan air terjun berkenaan tutup awal. – KOSMO! ONLINE