PETALING JAYA – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak menoleh ke belakang apabila mengetepikan cabaran juara Olimpik, Chen Qing Chen yang bergandingan bersama Wang Ting Ge untuk mara ke separuh akhir Terbuka Thailand hari ini.
Turun sebagai pilihan utama kejohanan, pasangan ranking keempat dunia itu tampil bertenaga apabila menewaskan lawan dari China itu dengan keputusan 21-14, 21-11 dalam masa hanya 34 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok.
Pearly-Thinaah bakal berdepan cabaran sama ada pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara atau beregu Indonesia, Meilysa Trias-Rachel Allessya dalam misi memburu slot final kedua mereka musim ini selepas muncul naib juara Masters Indonesia pada Januari lalu.
“Kami bermain dengan baik dari segi pergerakan dan kami telah merancang strategi permainan untuk perlawanan ini. Kami berjaya melaksanakannya dengan baik hari ini,” kata Pearly.
Mengulas kekuatan lawan mereka yang menyenaraikan pemain bergelar juara Olimpik, Thinaah menjelaskan mereka hanya mahu kekal fokus dengan prestasi sendiri.
“Kami tahu lawan bukan mudah, sebab semalam mereka menewaskan pasangan yang lebih tinggi ranking. Jadi kami hanya fokus pada diri sendiri dan pastikan persiapan kami rapi untuk hari ini,” kata Thinaah.
Ini adalah separuh akhir ketiga musim ini buat mereka selepas Terbuka India dan Masters Indonesia, namun Thinaah mengakui mereka belum mencapai kepuasan sepenuhnya.
“Kami tak boleh kata puas hati, sebab tahun ini banyak turun naik. Tapi saya sangat bersyukur dia (Pearly) sentiasa bersama saya. Kami banyak berbincang untuk tingkatkan permainan dan jadi lebih konsisten,” ujarnya.
Ditanya mengenai tempoh singkat perlawanan, Thinaah menjelaskan ia tetap memerlukan kekuatan fizikal dan fokus tinggi biarpun berjaya menamatkan permainan dalam masa 34 minit. – KOSMO! ONLINE