Masjid bukan lagi tempat berteduh Puan Ida, dua anak

9 hours ago 3

GEORGE TOWN – Kesengsaraan seorang ibu tunggal bersama dua anaknya yang sebelum ini terpaksa berumah sementara di masjid berakhir apabila kisah hidup mereka mendapat perhatian wakil rakyat kawasan Batu Uban.

Menerusi Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan, beliau telah berkongsi pertemuannya bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Puan Ida, hari ini.

Menurut Kumaresan, ibu kepada dua anak berusia enam dan 11 tahun itu, baru-baru ini telah diduga dengan masalah kewangan sehingga hilang tempat tinggal kerana tidak mampu menjelaskan sewa rumah di Batu Uban.

“Dia (Puan Ida) dan dua anaknya terpaksa menumpang teduh di Masjid Sungai Tiram untuk sementara waktu. Puan Ida berasal dari Kampung Batu Uban dan setelah bercerai, dia berpindah ke Sungai Tiram untuk mencari kehidupan baru.

“Syukur, apabila MPKK Batu Uban mendapat maklumat mengenai situasi Puan Ida, mereka segera bertindak. Puan Ida dan anak-anaknya dibawa ke Dewan MPKK Batu Uban untuk perlindungan sementara, sementara usaha mencari rumah sewa dilakukan,” katanya.

Beritahu Kumaresan, menerusi bantuan Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1, pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) bersetuju menanggung bayaran sewa rumah untuk keluarga terbabit selama setahun manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu memberikan sumbangan kewangan serta barangan keperluan asas.

Katanya lagi, kini Puan Ida dan anak-anaknya telah berjaya ditempatkan di sebuah rumah sewa di Kampung Batu Uban dengan kadar sewa sebanyak RM550 sebulan.

“Semasa lawatan saya, Puan Ida memaklumkan bahawa sebelum ini dia berniaga kecil-kecilan dengan membuat kuih dan menghantar ke kedai-kedai berhampiran, menjana pendapatan harian sekitar RM50 hingga RM100.

“Dia kini berhasrat untuk memulakan semula perniagaan itu tetapi memerlukan beberapa peralatan seperti dapur gas, periuk dan peti sejuk. Saya berjanji untuk membantunya mendapatkan peralatan yang diperlukan dan akan menanggung kos pembelian tersebut.

“Saya juga berasa sedih apabila diberitahu anak perempuannya masih belum bersekolah. Saya telah minta MPKK bantu uruskan pendaftaran ke sekolah dan saya akan menanggung sepenuhnya kos kemasukan serta kelengkapan persekolahan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |