Bakal guru ada bipolar hendap Timbalan Pendakwa Raya

10 hours ago 4

SHAH ALAM – Seorang bakal guru yang juga penghidap bipolar disorder yang didakwa menghendap seorang Timbalan Pendakwa Raya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Ameera Mastura Khamis memutuskan demikian terhadap tertuduh, T. Ruebenraj, 32, selepas meneliti hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding sebutan semula kes.

Ruebenraj sebelum ini mengaku tidak bersalah dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 selain dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan dan penilaian tahap kesihatan mental pada prosiding pertama pertuduhan pada 17 Februari lalu.

Mahkamah juga menetapkan jaminan itu bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh ganggu saksi.

Ruebenraj didakwa telah secara berulang mengganggu seorang wanita yang merupakan Timbalan Pendakwa Raya berusia 27 tahun dengan cara mengikuti prosiding mahkamah tempat mangsa bertugas di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan Shah Alam, Mahkamah Kuala Selangor serta Mahkamah Sungai Besar selain Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor antara Ogos 2023 hingga November tahun lalu.

Tindakan itu telah mendatangkan ketakutan kepada mangsa yang seterusnya melakukan kesalahan menghendap di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi memohon mengekalkan jaminan RM10,000 yang ditetapkan sebelum ini.

“Tertuduh juga layak untuk dibicarakan. Mohon tetap tarikh bicara memandangkan tertuduh tidak mengaku salah,” katanya.

Ruebenraj dalam mitigasi dibuat Peguam Khairul Naim Rafidi memohon jaminan dikurangkan memandangkan terdapat perkembangan baru dan tertuduh sebelum ini tidak diwakili peguam.

Jelasnya, terdapat keadaan istimewa di mana tertuduh merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di sebuah universiti swasta dan tiada rekod lampau.

“Anak guam saya menghidap penyakit bipolar disorder dan
schizoaffective disorder dengan mendapat rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selain pemegang kad Orang Kurang Upaya.

“Saya mempunyai kebimbangan sekiranya jamin terlalu tinggi diberikan, tertuduh akan ditempatkan di penjara dan faktor kesihatannya akan terabai.

“Mohon Mahkamah pertimbangkan jenis kesalahan yang mana kesalahan ini adalah dibawah kategori kesalahan tidak serius berdasarkan Seksyen 52A Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Julai. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |