MEKAH – Platform digital e-Taib yang dibangunkan Lembaga Tabung Haji (TH) menerima banyak pertanyaan jemaah membabitkan perkara-perkara larangan ihram dan hukum fiqh wanita.
Pengarah Operasi Bimbingan TH, Shahrin Awaludin berkata, TH mendapati kebanyakan persoalan itu diajukan oleh jemaah haji Malaysia yang masih berada di tanah air melalui e-Taib.
Menurutnya, pertanyaan-pertanyaan mengenai ibadah haji tersebut akan terus meningkat sebaik sahaja jemaah tiba di Tanah Suci.
“Soalan paling popular adalah mengenai larangan ihram seperti penggunaan wangi-wangian, serta perkara berkaitan fiqh wanita, terutama mengenai hukum berniat ihram ketika dalam keadaan haid.
“Persoalan yang sering diajukan seperti tahun-tahun sebelumnya. Kebimbangan timbul kerana ramai dalam kalangan jemaah, terutamanya wanita, menunaikan haji buat pertama kali dan berdepan situasi yang mungkin tidak pernah dialami sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, lebih 30 peratus daripada jemaah setiap tahun adalah kali pertama menunaikan ibadat haji dan umrah atau menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Boleh disimpulkan ramai yang bimbang jika ibadat mereka tidak sah.
“Namun, perlu diketahui bahawa wanita yang dalam haid masih perlu berniat ihram di miqat seperti biasa, kerana hanya tawaf yang perlu ditangguhkan sehingga suci, rukun haji lain tetap boleh dilaksanakan,” katanya.
Shahrin berkata, sehubungan itu platform digital e-Taib menerusi aplikasi THhujjaj membolehkan jemaah berinteraksi secara langsung dengan pembimbing ibadat secara online.
“Ia bagi memudahkan jemaah mendapatkan penjelasan lanjut. Selain itu, TH turut melantik lebih 40 pembimbing ibadat haji masing-masing 30 di Mekah dan 10 di Madinah.
“Tiga pakar rujuk dari Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji turut dibawa ke Tanah Suci bagi membantu menyelesaikan permasalahan hukum yang mungkin timbul,” katanya.