PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Sektor Awam (Cuepacs) memberi cadangan agar kerajaan mempertimbangkan untuk memberi pilihan kepada penjawat awam tetap bercarum sama ada untuk menerima bayaran secara bulanan atau secara sekaligus, tertakluk kepada syarat dan kelayakan tertentu yang ditetapkan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, cadangan tersebut adalah bagi memberi jaminan perlindungan jangka panjang kepada pesara kerajaan untuk tetap terpelihara.
“Cadangan kedua, mewujudkan skim hibrid yang menggabungkan kedua-dua bentuk bayaran iaitu sebahagian kecil boleh dikeluarkan sekaligus manakala selebihnya dibayar secara bulanan;
“Manakala kerajaan perlu memastikan kadar caruman kerajaan adalah mencukupi untuk menampung keperluan asas pesara agar ia tidak jauh berbeza daripada nilai pencen semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pendirian Cuepacs bahawa skim pencen yang sedang dilaksanakan pada masa ini adalah yang terbaik kerana ia menjamin kebajikan pesara sektor awam secara berterusan tanpa perlu risau terhadap simpanan hari tua.
Walaubagaimanapun, Cuepacs mengakui bahawa kekangan fiskal dan kedudukan kewangan negara pada masa ini menyebabkan skim pencen tradisional sukar untuk dikekalkan bagi pelantikan baharu dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, sebarang bentuk pindaan atau mekanisme baharu yang diperkenalkan hendaklah berprinsip “tidak kurang faedah” berbanding skim pencen sedia ada, bagi memastikan kebajikan penjawat awam kekal terbela selepas bersara.
“Cuepacs mengambil maklum cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengekalkan mekanisme pembayaran bulanan kepada penjawat awam tetap yang dilantik di bawah Skim Sumbangan Berpencen (SSPA), sebagai satu pendekatan baharu menggantikan skim pencen sedia ada.
“Kami menyambut baik pendekatan ini secara positif kerana ia mencerminkan keprihatinan kerajaan untuk terus menjaga kebajikan penjawat awam selepas bersara walaupun mereka tidak lagi berada dalam skim pencen tradisional. Pembayaran secara bulanan seperti pencen adalah satu bentuk perlindungan kewangan jangka panjang yang mampu menjamin kelangsungan hidup persara dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang terus meningkat.
Kami juga memahami bahawa terdapat sebahagian pandangan daripada penjawat awam yang lebih cenderung untuk menerima bayaran sekaligus seperti dalam skim KWSP. Namun demikian, Cuepacs berpandangan bahawa pembayaran secara bulanan adalah lebih berstruktur, selamat dan dapat mencegah risiko pemborosan atau kehabisan simpanan persaraan dalam tempoh singkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.