Malaysia ‘libas’ Jepun, hampiri kejuaraan kedua

5 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya menepati ramalan apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir acara regu berpasukan selepas mengalahkan Jepun 2-0 pada aksi suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Ketika ini, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun bakal menanti pemenang satu lagi perlawanan suku akhir membabitkan Indonesia dan Filipina.

Pada perlawanan kali ini, skuad negara yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA, tahun lalu tampil dengan aksi bertenaga dan dilihat tidak berdepan masalah untuk meraih mata pertama.

Bagaimanapun, perjalanan skuad negara dilihat sedikit berliku selepas tekong negara, Syahir Rosdi mengalami kecederaan dan diganti oleh Zarif Marican Ibrahim Marican hingga mengesahkan kemenangan 15-9, 15-6.

TEKONG negara, Syahir sedang menerima rawatan selepas mengalami kecederaan pada aksi suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 acara regu berpasukan menentang Jepun di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi. – SHIDDIEQIIN ZON

Kejayaan itu nyata memberikan suntikan semangat buat regu kedua, Zulkifli Abd Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi yang turut tidak berdepan masalah untuk mengesahkan kemaraan hasil kemenangan 15-6, 15-8.

“Saya sudah tetapkan dalam fikiran saya, saya memang kena sentiasa bersedia untuk setiap regu sebab bermain di posisi ‘joker’, kita tidak boleh lalai.

“Saya sudah berlatih, saya sudah usaha dan hanya ikut arahan jurulatih. Kalau diberi kepercayaan, insyaAllah saya akan turun dan beri 100 peratus,” kata Zarif Marican. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |