Lelaki mengaku noda wanita Australia

8 hours ago 7

GEORGE TOWN – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan meliwat seorang wanita warga Australia di dalam sebuah kereta di kawasan perkuburan Cina, 28 Jun lalu.

Tertuduh, S. Prasanth, 25, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan dua pertuduhan tersebut secara berasingan dalam bahasa Tamil, di hadapan Hakim Juraidah Abbas. Bagaimanapun, hukuman terhadap tertuduh tidak dapat diputuskan oleh mahkamah hari ini kerana tertuduh memohon untuk melantik peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati merogol seorang wanita warga Australia dalam sebuah kereta Perodua Axia dan pada masa melakukan kesalahan itu tertuduh telah meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan mengacukan sebilah gunting besi kepada mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 28 Jun lalu di antara pukul 5.20 pagi hingga 6 pagi, di kawasan perkuburan Cina Hong Seng Estate Mount Erskine di sini.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh di lokasi dan masa yang sama didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Mohd. Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Mohd. Nordin memohon mahkmah agar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah berat.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, pertuduhan kedua pada mangsa adalah zalim iaitu selepas merogol mangsa, tertuduh meliwat mangsa pula.

“Mangsa adalah seorang pelancong dari Australia yang datang melawat Malaysia, hubungan Malaysia dan Australia adalah baik dan sensitiviti ini perlu diambil kira, kita tidak mahu beri satu gambaran tidak baik di mana kesalahan jenayah bebas dilakukan,” katanya.

Hakim kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, manakala tarikh 31 Julai ditetapkan sebagai tarikh lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |