SUNGAI PETANI – Polis menahan lapan remaja lelaki kerana disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan di lampu isyarat berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kelisa Ria, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh kira-kira pukul 10 malam.
Menurutnya, semasa kejadian, pengadu yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan rakannya berusia 19 tahun menunggang motosikal masing-masing untuk pulang ke rumah mereka.
“Sebaik tiba di kawasan lampu isyarat, pengadu ditahan sekumpulan lelaki bermotosikal yang mencari rakannya bernama Danial.
“Dia kemudian memaklumkan Danial sedang menunggang motosikal di hadapannya lalu beberapa lelaki terbabit bertindak menendang motosikalnya sehingga jatuh sebelum memukulnya menggunakan besi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, rakan pengadu yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut dipukul dengan besi selain ditumbuk dan ditendang.
“Kejadian mengakibatkan pengadu mengalami kecederaan dan lebam di mata sebelah kanan, manakala rakannya patah jari kelingking, bengkak kaki kanan serta cedera di bahagian dada dan pinggang.
“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum membuat laporan polis,” ujarnya.
Hanyan memberitahu, bertindak atas laporan pengadu, pihaknya berjaya menahan lapan lelaki berusia antara 17 hingga 19 tahun pada pukul 7 malam tadi.
“Siasatan awal mendapati punca pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham semasa siaran langsung TikTok yang mana pengadu dan rakannya menuduh kumpulan lelaki itu meninggalkan komen menghina ibu angkatnya,” jelasnya.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan direman selama lima hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE