PETALING JAYA – Nasib malang menimpa seorang pemilik kereta Mitsubishi Lancer apabila kenderaannya remuk selepas melanggar sebuah Toyota Alphard yang berhenti secara tiba-tiba di lorong kanan sebuah lebuh raya.
Menerusi hantaran di TikTok milik @Ashrulizhann, dia berkongsi rakaman papan pemuka (dashcam) insiden tersebut serta keadaan keretanya yang rosak teruk akibat pelanggaran berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian, keretanya sedang menuruni lebuh raya dan mengalami ‘tire lock’ (brek terkunci) menyebabkan sukar untuk membrek atau mengelak secara mendadak.
“Kereta meluncur ke depan sebab tengah turun ‘highway’. Kalau nak elak pun kena tambah ‘speed’ untuk potong kereta sebelah. Lagi bahaya, takut libatkan 2-3 kereta,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Difahamkan, pemandu Alphard tersebut berhenti di lorong paling kanan semata-mata untuk mencari nombor plat kereta yang tercabut.
Dalam hantaran lain, pemilik Mitsubishi Lancer itu memaklumkan keretanya baru sahaja dicat semula pada pagi kejadian.
“Saya baru cat kereta, bawa balik rumah terus jadi macam ni. Remuk hati kumpul duit sikit-sikit nak cantikkan kereta, tapi jadi macam ni sebab kesilapan orang lain,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen bersimpati dan mengecam tindakan pemandu Alphard yang dianggap mementingkan diri.
“Kalau macam ini siapa je sangka… tiba-tiba ada kereta parkir laluan paling kanan, tak ada letak apa-apa tanda. Tahu-tahu ada kereta tengah parkir dekat laluan kanan… nak cari plate punya pasal,” kata Raja.
“Yang salahkan owner (Mitsubishi Lancer) ni mesti semua ambil lesen terbang, itu tak reti beza lorong kanan dengan lorong kiri,” komen Faiq.
“Sakitnya tengok… siapa je tak baran tengok keadaan kereta macam ni disebabkan tindakan orang lain yang terlebih pandai parkir belah kanan,” kata seorang pengguna.
Sementara itu, ada juga yang meluahkan rasa simpati terhadap pemilik Lancer dan memahami kekecewaan yang dirasainya.
“Aduh… ingat kereta biasa… sakit nak baiki ni, makan modal… moga dipermudahkan urusan,” kata seorang pengguna.
“Kereta idaman suamiku… nape aku terasa sakitnya juga ni,” ujar pengguna lain.
Dalam hantaran susulan, pemilik kereta memaklumkan dia berjaya menuntut insurans dari pihak pemandu Alphard yang turut dikenakan kompaun RM300 oleh pihak berkuasa.
“Alhamdulillah menang. Pemandu Alphard kena kompaun RM300. Tetapi kalau jadi kes mahkamah, dia kena RM3,000 untuk saman trafik sahaja. Yang penting insurans syarikat dia, kita dapat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE