PUTRAJAYA – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan semasa apabila kekuatan ummah semakin runtuh disebabkan perlakuan umat Islam dan orang Melayu yang saling membuka kelemahan serta mencemarkan imej sendiri.
Baginda bertitah, pada ketika ini mereka semakin berlumba-lumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukis wajah siapa yang lebih hodoh, saling menepuk air di dulang untuk terpercik di muka sendiri.
Titah baginda, jika keadaan ini berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan mencemarkan maruah bangsa.
“Ketika bangsa tersilap tanggapan bahawa dirinya telah begitu ke hadapan dalam era modenisasi dan globalisasi, ada baiknya diingatkan untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan pesanan orang tua-tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
“Bangsa jangan hendaknya hilang kearifan, menjadi pandir, hingga terlihat mencari bayang ketika malam, menyalakan pelita ketika rembang, berakhir dengan senario menang sorak kampung tergadai,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) Ke-73, di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, falsafah perpaduan yang digambarkan melalui perbilangan adat perpatih itu diadaptasi oleh orang Melayu, lalu terbina satu tenaga yang dihormati, memiliki kegagahan untuk mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa.
Titah Sultan Nazrin, ‘DNA’ kekuatan yang ada pada pemimpin Melayu Islam pada era pramerdeka dan pascamerdeka dan pada era pra dan pasca penubuhan Malaysia adalah terletak pada kepercayaan rakyat terhadap sifat jujur, pengorbanan ikhlas dan kesungguhan perjuangan.
“Dalam kedua-dua era tersebut, orang Melayu kekal bersatu dalam perkara prinsip yang menyentuh martabat dan maruah bangsa dan umat Islam bersatu teguh mempertahankan perkara pokok yang menyentuh kesucian Islam.
“Di samping itu, orang Melayu pada ketika itu turut bersedia untuk menerima kepelbagaian serta menghormati perbezaan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE