Kalau naik e-hailing bau ikan tu jangan ‘judge’ okey

3 hours ago 1

PETALING JAYA – “Kalau ada orang yang berbau ikan, jangan terus judge (nilai) mungkin dia ada masalah kesihatan.”

Itu perkongsian seorang pengguna Threads, @husnazaris mengenai pengalamannya menaiki perkhidmatan e-hailing melibatkan seorang pemandu yang didakwa mempunyai bau badan seperti ikan.

Menurutnya, pada awalnya dia menyedari bau tersebut, namun pemandu berkenaan dilihat berusaha keras untuk memastikan penumpang selesa.

“Untuk yang tanya betul ke bau ikan. Untuk hidung yang sensitif macam saya ni, boleh kata pemandu itu buat kerja baik untuk tutup bau. Kereta bersih bau wangi, dia siap kunyah chewing gum (gula-gula getah) sebelum saya masuk,” katanya.

Pengguna tersebut turut berkongsi gambar memaparkan usaha pemandu berkenaan menampal pemberitahuan di kerusi penumpang memaklumkan penyakit yang dihadapinya sehingga mengeluarkan bau badan.

“Hello, saya pemandu Grab mengalami Metabolic disorders (gangguan metabolik), masalah yang tiada ubat, tapi saya 100 peratus bersih. Harap maaf,” jelas pemandu terbabit.

Sehubungan itu, pengguna tersebut menyeru orang ramai agar tidak mudah menilai seseorang hanya berdasarkan bau badan kerana kemungkinan individu tersebut berdepan masalah kesihatan tertentu.

“Jadi tolong beri dia ‘rating’ yang terbaik dan sebarkan kesedaran ini ya,” katanya.

Perkongsian itu turut membuka ruang perbincangan dalam kalangan netizen yang rata-rata mengakui keadaan tersebut mungkin berpunca daripada masalah perubatan yang tidak dapat dikawal.

Seorang pengguna, @coulduplsloveme berkata, dia sendiri berdepan situasi sama sejak zaman sekolah sehingga menjejaskan keyakinan diri.

“Setiap kali naik bas, orang belakang akan cakap bau ikan dan saya tahu bau itu datang daripada saya, tapi saya tak boleh buat apa-apa. Saya mandi, pakai minyak wangi, deodoran dan losyen berbau, tapi masih sama,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @sally.aab mengakui baru pertama kali mengetahui mengenai keadaan tersebut.

“Terima kasih berkongsi, ini kali pertama saya dengar,” ujarnya.

Seorang lagi netizen, @nrmirn pula menegaskan orang ramai tidak sepatutnya cepat menghukum kerana ada individu yang mengalami kondisi kesihatan tertentu.

“Ini untuk mereka yang suka ‘judge’ orang tak pakai deodoran atau berbau. Ada orang yang memang ada masalah perubatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |