Jual durian RM8 sekilo tapi tak boleh tukar kalau busuk

5 hours ago 4

PETALING JAYA – Musim durian dinanti-nantikan ramai sepatutnya membawa kegembiraan, namun berbeza pula kisah seorang pembeli di Bandar Saujana Utama, Selangor yang kecewa apabila durian dibelinya tidak dapat dimakan dan tidak boleh ditukar.

Kisah itu dikongsi menerusi hantaran di kumpulan Facebook, Saujana Utama Sungai Buloh, di mana individu tersebut meluahkan rasa terkilan setelah membeli durian kampung yang dijual pada harga RM8 sekilogram.

Menurut perkongsian tersebut, individu itu tertarik dengan promosi durian kampung dari Batu Kurau yang terkenal dengan kualiti buahnya.

Katanya, dengan bajet RM50, dia berjaya mendapatkan enam biji durian, namun sebiji yang boleh dimakan manakala selebihnya berisi buruk dan penuh dengan kutu.

“Rezeki terlihat ada durian kampung dari Batu Kurau yang semua orang tahu betapa eloknya dan moleknya. Sekilo RM8 dan hati berbunga-bunga sudah tentu dapat bawa balik untuk anak-anak.

“Dapat la dalam 6 biji namun sangat kecewa yang durian itu hanya sebiji boleh dimakan…penuh kutu dan isi dapat la seulas dua buat rasa anak-anak,” katanya.

Lebih mengecewakan, penjual meletakkan syarat awal bahawa durian yang dibeli tidak boleh dipulangkan atau ditukar jika isinya rosak.

“Silap saya juga kerana bersetuju dengan syarat itu. Tapi wahai penjual, ketepikanlah durian yang sudah tidak elok. Kalian lebih tahu mana yang boleh dijual, mana yang tidak.

“Tidak apa saya halalkan dan anggap tiada rezeki dan itu adalah harga titik peluh kalian berniaga,” luahnya.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang turut bersimpati dan berkongsi pengalaman serupa ketika membeli durian.

“Takyah beli durian dekat Saujana ini. Semua penjual tak jujur, dah pernah kena banyak kali. Lagi pula yang jual tu semua warga asing,” kata seorang pengguna.

“Pernah banyak kali kena macam ini, sekarang memang beli durian pilih yamg dalam bekas siap buka. Memang ramai peniaga kira nak untung tanpa rugi 1 sen,” komen Munirah.

“Naya…syarat ‘do re mi’. Meniaga pun percuma tepi jalan, mai dekat pelanggan ada syarat. Sabarlah…,” kata Mohd Asri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |