GOMBAK – Segelintir pemilik syarikat kenderaan perdagangan dikesan menggunakan pelekat khas pada lori dan treler bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka.
Taktik itu dipercayai digunakan sebagai ‘penanda’ tertentu bagi memberi gambaran kononnya kenderaan terbabit mempunyai keistimewaan atau ‘kebal’ daripada pemeriksaan dan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan mengaburi mata penguat kuasa malah tindakan tegas akan terus diambil bagi yang melanggar peraturan jalan raya serta syarat permit ditetapkan.
Menurutnya, pelekat terbaharu itu yang dikesan dicetak dalam warna putih dan emas serta mempunyai lambang tertentu sebagai isyarat kepada pihak berkaitan.
“Pelekat tersebut dipercayai dikeluarkan oleh ‘tonto’ sebelum diberikan kepada pemilik syarikat dengan bayaran tertentu.
“Sekiranya mereka melalui kawasan tertentu, tonto-tonto ini akan memaklumkan kepada pemandu lori sekiranya terdapat kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkaga berkata, pihak JPJ memberi amaran tegas kepada pengusaha lori supaya tidak mengupah tonto untuk melindungi lori di bawah kawalan mereka.
“JPJ akan menyalurkan maklumat ini kepada pihak SPRM supaya diambil tindakan seterusnya kemungkinan kita akan buat kolaborasi untuk operasi kepada lori-lori yang masih lagi menggunakan pelekat ini,” jelasnya. .
Pada masa sama, kata Muhammad Kifli, berdasarkan statistik dari tahun 2024 hingga April lalu, sebanyak 2.58 juta kenderaan perdagangan telah diperiksa di seluruh negara membabitkan pelbagai kategori kesalahan lebih muatan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 415,846 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. 45,986 notis saman JPJ(P)22 dikeluarkan pada tahun 2024 sebelum meningkat kepada 57,174 notis pada tahun lalu.
“Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 14,885 notis telah dikeluarkan atas kesalahan sama. Selain tindakan saman, JPJ turut melaksanakan sitaan terhadap 753 kenderaan yang melanggar syarat permit dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat,” ujarnya.
Tambahnya, antara negeri yang merekodkan jumlah sitaan tertinggi ialah Pulau Pinang dengan 133 sitaan, diikuti Selangor (125 sitaan) dan Pahang (101 sitaan).
“Pemantauan berterusan serta penggunaan teknologi penguatkuasaan semasa bagi meningkatkan ‘Perception of Being Caught’ (POBC) dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
9


![[VIDEO] Aktivis GSF 2.0, FFC diikat tangan di belakang, kepala atas lantai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-20-at-10.33.30-PM.jpeg)











































