Jiran bau busuk, jumpa mayat tiga beranak mereput dalam rumah

10 hours ago 4

SEREMBAN – Bau busuk membawa kepada penemuan mayat tiga beranak yang sedang mereput dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, sejurus menerima maklumat, Ketua Balai Polis Jalan Campbell bersama pihak bomba bergerak ke lokasi serta bertindak memotong mangga pagar rumah.

“Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam bilik tidur, merupakan ahli keluarga iaitu bapa berusia 61 tahun, ibu 59 tahun dan anak lelaki 30 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohamad Hatta, pihak polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan torehan di bahagian lengan kanan mayat anak lelaki, manakala mayat ibu bapa tidak menjumpai sebarang tanda mencurigakan.

“Empat bilah pisau yang terdapat kesan darah dipercayai digunakan semasa kejadian turut ditemui, selain itu polis menjumpai pelbagai jenis ubat yang telah digunakan terletak di atas meja ruang tamu rumah.

“Ketiga-tiga mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superitendan Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 06-6033222.

Sementara itu, seorang jiran yang ditemui di lokasi kejadian memberitahu, kali terakhir menemui salah seorang mangsa pada Jumaat lalu.

“Jumaat lepas mangsa datang ke rumah saya untuk memberi makan anjing. Selepas itu saya tidak nampak dia lagi. Saya sangka mereka tiada di rumah atau keluar.

“Petang tadi, jiran sebelah rumah mangsa telah menghubungi polis selepas menghidu bau busuk dari rumah tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |