Isu ganjaran RM60,000 Liek Hou selesai

2 hours ago 2

PUTRAJAYA – Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou akhirnya menarik nafas lega apabila isu ganjaran RM60,000 yang menjadi polemik sejak Sukan Paralimpik Paris 2024 selesai selepas menerima jumlah penuh seperti diumumkan sebelum ini.

Liek Hou, 36, menjelaskan dia telah menerima keseluruhan RM25,000 daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sejak April lalu, manakala baki RM35,000 disalurkan secara terus oleh penaja baharu, 99 Speed Mart.

“Pada bulan April, saya sudah terima RM10,000 daripada MPM dan beberapa hari kemudian RM15,000 lagi. Jadi keseluruhannya RM25,000 daripada MPM. Bila campur dengan RM35,000 daripada 99 Speed Mart, jumlahnya memang genap RM60,000,” katanya.

Dalam sidang akhbar di Kementerian Belia dan Sukan hari ini, Liek Hou turut menekankan bahawa isu ini bukan hanya soal peribadi, sebaliknya pengajaran supaya insentif atlet diurus dengan lebih telus pada masa depan.

“Perjalanan kami sebagai atlet tidak lama. Jadi semua bonus, insentif dan skim daripada negara serta syarikat sangat penting untuk menyokong kami. Saya harap isu sebegini tidak berlaku lagi di masa depan,” ujarnya.

Juara Paralimpik dua kali itu menganggap peranan atlet senior sepertinya adalah bersuara bagi pihak atlet muda yang mungkin tidak mempunyai platform.

“Kalau saya tidak bersuara, perkara ini boleh berulang pada junior. Jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk mewakili para atlet dan menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan isu ini tidak wajar dikaitkan dengan tatatertib atau penggantungan terhadap Liek Hou.

“Saya tidak fikir ini masalah disiplin kerana Liek Hou hanya menuntut apa yang telah diumumkan, bukannya melanggar etika,” katanya.

Hannah turut menjelaskan, kementerian telah menyerahkan dokumen rasmi perjanjian kepada MPM sebagai panduan wajib buat semua penaja yang menjanjikan ganjaran selepas temasya besar.

“Format perjanjian ini telah diberikan kepada MPM untuk digunakan pada masa depan agar isu sebegini tidak berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |