SUNGAI PETANI – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan kerana disyaki melakukan jenayah rogol serta meminta suapan wang tunai dan habuan seks dalam dua kejadian berasingan baru-baru ini.
Suspek berusia 29 tahun yang masih bujang dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah ditahan selepas dua mangsa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani dan Balai Polis Sungai Petani pada 3 dan 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa dalam kejadian pertama, suspek disyaki menerima suapan RM2,000 daripada seorang lelaki bagi membebaskan seorang suspek kes dadah.
“Rakan kepada suspek kes dadah itu memberi wang kepada inspektor terbabit di pejabatnya sebelum pegawai polis itu turut meminta habuan seks yang menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan bertindak membuat laporan kepada SPRM pada pukul 11.30 malam, 3 Julai lalu.
“Setengah jam kemudian, pihak kita pula menerima satu lagi aduan berkaitan kes rogol membabitkan inspektor berkenaan daripada seorang wanita berusia lingkungan 30-an menyebabkan kita menahan pegawai berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, wanita terbabit mempunyai kaitan dengan satu kes samun dan mengadu kejadian rogol itu berlaku di rumahnya di sebuah flat di sini kira-kira pukul 2 pagi, 20 April lalu.
“Inspektor berkenaan telah pergi ke rumah wanita itu dengan berpakaian lengkap uniform polis kononnya untuk membantu menyelesaikan kes samun yang dihadapinya.
“Kedatangan pegawai polis itu menyebabkan wanita berkenaan berasa takut dan ketika berada di dalam rumahnya, pegawai polis itu kemudiannya bertindak merogol wanita berkenaan tanpa kerelaannya,” katanya.
Tambahnya, pegawai polis itu direman selama tiga hari di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan sebelum disambung empat hari lagi bermula hari ini atas permintaan SPRM untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM. – KOSMO! ONLINE