HRD Corp laksana penstrukturan semula, perkukuh tadbir urus

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Pertubuhan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) selesai melaksanakan penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh dalam tempoh dua bulan sebagai langkah memperkukuh keupayaan institusi itu.

Inisiatif itu melibatkan penyusunan semula tadbir urus, pengurusan serta operasi ke arah pelaksanaan dan penyampaian yang lebih berkesan.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, organisasi kini berada dalam jajaran yang jelas bagi menyokong hala tuju yang ditetapkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara.

Menurutnya, hala tuju baharu itu mencerminkan penekanan berterusan Ramanan terhadap pengukuhan tadbir urus, penambahbaikan penyampaian serta memastikan sistem latihan negara kekal berwibawa, relevan dengan industri dan berimpak tinggi di bawah kerangka Madani.

“Reset telah selesai. Kita kini bergerak ke hadapan dengan disiplin, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan,” katanya dalan kenyataan hari ini.

Shamir berkata, bagu peringkat pengurusan, sebahagian besar isu legasi daripada dapatan audit dan penemuan kawal selia sebelum ini telah diselesaikan, dengan penyerahan kini dibuat kepada pihak berkuasa.

Katanya, bidang perundangan, audit dan penguatkuasaan juga telah diperhebat bagi memantapkan lagi tadbir urus dan pematuhan, selain struktur operasi telah diperkemas untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan.

Beliau berkata, HRD Corp turut memperketat kawalan terhadap tuntutan latihan dan penggunaan levi bagi memulihkan pemantauan dan akauntabiliti.

“Di bawah prosedur operasi standard yang baharu, latihan hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan awal diperoleh, dengan tempoh masa dan jangka pelaksanaan yang ditetapkan.

“Ini membolehkan HRD Corp menggerakkan pasukan penguatkuasaan di lapangan bagi memastikan keterlihatan yang penuh serta melakukan pengesahan aktiviti latihan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Shamir, kekosongan kepimpinan utama telah diisi dengan pelantikan Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Operasi, di samping mengetengahkan bakat dalaman ke jawatan kanan dan pengurusan.

Tambahnya, HRD Corp juga telah melengkapkan perancangan bajet yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah termasuk peruntukan strategik bagi mempercepat keutamaan pembangunan tenaga kerja negara, dengan perincian lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kini, keutamaan kita adalah pelaksanaan untuk memberikan hasil, memulihkan keyakinan serta memastikan pekerja dan perniagaan Malaysia
bersedia untuk menghadapi dan bertindak balas terhadap ketidaktentuan global yang semakin meningkat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |