Harimau Malaya perlukan kerjasama

6 hours ago 2

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) harap perbincangan dapat dilakukan oleh pengurusan skuad kebangsaan dan kelab Liga Malaysia bagi melepaskan pemain pada saingan Piala Negara-Negara Asia Barat (CAFA) yang berada di luar kalendar antarabangsa FIFA.

Sebagai rekod, kalendar FIFA seterusnya bakal dibuka pada 1 hingga 9 September depan manakala saingan Piala CAFA 2025 pula akan bermula pada 29 Ogos hingga 8 September.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, barisan kejurulatihan pasti akan berbincang dengan pihak kelab untuk menghadapi situasi dalam usaha memohon kelab untuk melepaskan pemain pada kem latihan pusat lebih awal.

“Saya minta pengurusan skuad kebangsaan seperti CEO (Rob Friend) atau Peter (Cklamovski) dapat mengadakan perbincangan dan mencari penyelesaian terbaiklah bagi menghadapi situasi ini.

“Sebab memang kita semua maklum bahawa perlawanan pertama itu bukan dalam kalendar FIFA. Sebelum ini, jika (perlawanan) bila berlaku di luar kalendar FIFA, memang kebanyakan pasukan tak akan lepaskan pemain.

“Ini adalah perkara biasa, tetapi dalam keadaan sekarang (fasa revolusi) saya tidak pasti kerana mungkin mereka ada jalan penyelesaian terbaik untuk menghadapi situasi ini,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Skuad kebangsaan telah dijemput menyertai CAFA 2025 yang akan berlangsung pada penghujung bulan depan dan telah diundi dalam Kumpulan B bersama Iran, Afghanistan dan tuan rumah, Tajikistan.

Pasukan negara dijadualkan bertemu dengan Tajikistan pada 29 Ogos, Iran (1 September) dan Afghanistan (4 September) dan saingan kalah mati pula akan dilakukan pada 8 September.

Bagi saingan Kumpulan A, satu lagi pasukan yang akan bersaing di pentas Piala Dunia 2026, Uzbekistan telah diundi bertemu Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Oman dengan hanya juara kumpulan layak ke pentas final.

Read Entire Article
Pertanian | | | |