Hadiah jubli perak, ‘Radja ada Cinderella, Kuala Lumpur ada Isabella’

13 hours ago 8

JAKARTA – Bakal merealisasikan konsert sempena ulang tahun ke-25 di Kuala Lumpur, band popular Indonesia, Radja menerima hadiah paling bermakna andai berpeluang berkolaborasi dengan ikon rock Malaysia, Datuk Amy.

Vokalisnya, Ian Kasela berkata, persembahan mega solo mereka pada 11 Julai ini diharap dapat menghimpunkan rakan seperjuangan di Malaysia sekali gus menjadikan hari bersejarah mereka lebih bermakna.

“Kalau saya secara peribadi mungkin (beraksi) dengan artis senior. Tidak boleh dinafikan, kalau Radja ada lagu Cinderella Kuala Lumpur, ada Isabella (kumpulan Search).

“Itu harapan saya, mungkin dapat berkolaborasi dengan Datuk Amy Search di atas pentas nanti. Kita cuba jemput Raja Rock, Raja Pop dan raja-raja yang ada di Malaysia untuk kita raikan bersama.

“Ini bukan (aksi) seorang, tapi kami mahu panggil ramai (penyanyi). Macam kami minta kado (hadiah). Siapa yang bermurah hati kami alu-alukan,” katanya pada sidang media konsert Revolusi Radja 25 Tahun, di sini, malam tadi.

Dianjurkan Dhyah Prod7ction bersama Infinity Love Creative Ventures, akui Ian lagi, aksi mega bagi meraikan jubli perak band terbabit juga sebagai simbolik perjalanan seni mereka dalam industri muzik Nusantara.

“Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan seni Radja memandangkan sokongan peminat di negara ini tidak pernah pudar sejak awal kemunculan kami sekitar 2000.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi perjalanan nostalgia dan emosi untuk meraikan 25 tahun perjalanan muzik kami,” ujarnya.

Selain Ian, kumpulan yang dianggotai Moldy dan Adit merancang menyambut ‘kelahiran’ Radja di tanah tumpah darah mereka usai konsert di Stadium Hoki Bukit Jalil nanti.

“Pastinya penyokong di sini juga kami hargai dan mengenepikan mereka. Kami sudah merancang sambutan sama di Indonesia,” jelasnya.

Difahamkan, aksi berdurasi dua jam bakal menyajikan deretan lagu malar segar seperti Jujur, Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, Manusia Biasa, Jangan Sakiti Aku dan Aku Ada Kerana Kau Ada.

Sementara itu, wakil Infinity Love Creative Ventures, Mubarak Akhtar Mohd, Aris berkata, pelbagai persiapan kini rancak dilakukan bersama pasukan dari dua negara bagi memastikan acara lancar.

“Kami membantu menyelaras promosi, sistem bunyi, lokasi dan logistik di Malaysia. Alhamdulillah Radja bersetuju bekerjasama,” katanya.

Lebih menarik, konsert tersebut turut menampilkan kolaborasi khas bersama DJ popular, Nathalie Holscher yang akan mempersembahkan lagu Radja dalam muzik elektronik moden.

Selain Nathalie, penganjur juga merancang kerjasama dengan beberapa penyanyi dan pemuzik Malaysia daripada pelbagai generasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tiket konsert di premis acara yang mampu memuatkan kapasiti sekitar 12,000 penonton itu akan mula dijual bermula hari ini menerusi laman rasmi myticket.asia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |