JITRA – Pasangan suami isteri yang ditemukan lemas bersama empat anak di Sungai Korok, di sini baru sahaja kehilangan bayi lelaki yang merupakan kembar kepada anak bongsu mereka, Tuah Haydar berusia enam bulan.
Menurut Nur Shafika Izani Ishak, adik kepada Allahyarham Mohamad Azim Izat, 32, berkata, bayi mereka, Jebat Haydar meninggal dunia akibat masalah kesihatan pada Februari lalu.
“Kami mungkin akan mencadangkan agar jenazah abang dan isterinya serta empat anak dikebumikan dekat kubur Jebat Haydar iaitu di Jerlun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar.
Sementara itu, katanya, dia yang bekerja di Pulau Pinang terus bergegas pulang ke Jerlun selepas dimaklumkan tentang kehilangan abang sekeluarga.
“Saya bersama keluarga memang cari merata tempat termasuk kawasan ini tetapi tidak nampak ada yang mencurigakan.
“Semalam paras air tinggi dan hari ini air surut, sebab itu nampak sedikit bahagian kereta Proton Saga Iswara abang,” ujarnya.
Jelasnya, kejadian berlaku tidak jauh dari rumah ibu mentua abangnya di Jerlun dengan perjalanan mengambil masa kira-kira empat minit sahaja lagi.
“Abang dan keluarga tidak sempat sampai apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai yang dalam ini. Mereka dalam perjalanan pulang ke Jerlun selepas bermalam di rumah kakak di Taman Sri Aman, Jitra,” katanya.
Jarak perjalanan dari Taman Sri Aman ke lokasi kejadian adalah kira-kira 22 kilometer.
Sementara itu, Muhammad Aiman Aizat, 21, adik kepada Nurul Hidayah Khadijah berkata, dia masih terkejut dengan pemergian kakak bersama suami serta empat anaknya itu.
“Mereka hilang sekelip mata, saya sedih kerana kakak sulung saya ini sangat mengambil berat tentang adik-adik,” katanya yang merupakan anak kelima daripada enam beradik. – KOSMO! ONLINE