DUN Selangor: Sita aset suami ingkar bayar nafkah

5 hours ago 3

SHAH ALAM – Sitaan aset antara mekanisma sedang dirangka terhadap suami khususnya yang culas dan ingkar dalam perintah nafkah di Selangor.

Exco Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, ia dilakukan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) dengan kerjasama strategik bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan intitusi kewangan.

Katanya, ini bagi memastikan hak wanita dan anak-anak selepas penceraian terus terbela.

“Penelitian dan cadangan pindaan terhadap Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 juga dilakukan menerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama-sama Jakess, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ahli akademik dan pakar perundangan syariah daripada institusi pengajian tinggi.

“Pendekatan ini juga bagi menjamin bahawa undang-undang digubal adalah adil dan menepati keperluan semasa masyarakat Islam di Selangor,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu, Mariam Abdul Rashid (PH – Meru) ingin mengetahui mengenai kes-kes pelanggaran perintah nafkah.

Kata Mohammad Fahmi, sebanyak 1,189 aduan pelanggaran perintah nafkah telah diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor sejak tahun 2022 hingga 31 Mei lalu.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu, jumlah berkaitan kes sama direkodkan Jakess menunjukkan 1,099 kes didaftarkan dengan 777 kes berjaya diselesaikan.

“Justeru, pemilihan mekanisme yang tepat dan efisien oleh pihak yangmenuntut nafkah khususnya bekas isteri atau penjaga anak adalah antara faktor penting dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan perintah nafkah.

“Kegagalan memilih saluran atau mekanisme yang sesuai boleh menyebabkan kelewatan, kekeliruan dan akhirnya menjejaskan hak penerima nafkah,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |